Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Isnin

13 Januari 2020

7:13:00 PTG
1002101

Tentera A.S Mula Bersihkan Pangkalan Ain al-Assad

Pasukan Amerika Syarikat telah membersihkan serpihan dan runtuhan dari pangkalan Ain al-Assad yang terletak di wilayah barat Iraq, Anbar beberapa hari selepas pangkalan tersebut diserang oleh peluru berpandu balistik Iran dalam sebagai respon ke atas pembunuhan Jeneral Pasukan Quds Iran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pasukan Amerika Syarikat telah membersihkan serpihan dan runtuhan dari pangkalan Ain al-Assad yang terletak di wilayah barat Iraq, Anbar beberapa hari selepas pangkalan tersebut diserang oleh peluru berpandu balistik Iran dalam sebagai respon ke atas pembunuhan Jeneral Pasukan Quds Iran.

The Associated Press melaporkan pada hari Isnin bahawa salah seorang daripada krew mereka melawat pangkalan udara tersebut dan menyaksikan "kawah besar (yang terbentuk akibat letupan peluru berpandu), treler tentera yang rosak serta kenderaan forklift sibuk mengangkat runtuhan sebelum memuatkannya ke dalam trak."

Pangkalan tersebut merupakan sebuah kompleks besar yang terletak kira-kira 180 kilometer dari ibukota Iraq Baghdad dan menempatkan kira-kira 1,500 anggota tentera A.S serta anggota tentera pasukan pakatan pimpinan mereka yang didakwa terlibat di dalam operasi membasmi keganasan di Iraq.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini pernah melawat pangkalan udara tersebut pada bulan Disember 2018 sekaligus menandakan lawatan pertama beliau ke pangkalan tentera A.S di rantau ini.

Pada 8 Januari, Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan peluru berpandu balistik ke atas Ain al-Assad dan satu lagi pos Pentagon di Erbil.

Presiden Trump pada sebelas hari lepas mengarahkan tentera negaranya untuk melancarkan serangan dron ke atas Ketua Pasukan Quds Iran, Qassem Soleimani yang melawat Iraq di atas undangan kerajaan Baghdad.

Serangan itu turut meragut nyawa Naib Ketua Gerakan Mobilisasi Popular Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis dan sejumlah pengiring mereka.

Iran kemudiannya melancarkan serangan peluru berpandu ke atas dua pangkalan Amerika di Iraq sebagai respon terhadap jenayah perang A.S yang membunuh pegawai kanan tentera mereka. -Press TV