Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

31 Januari 2020

6:44:12 PTG
1006598

Pentagon sekali lagi mengemaskini bilangan anggota tentera mereka yang mengalami kecederaan akibat daripada serangan peluru berpandu Iran di Iraq pada awal bulan ini kepada 64 orang sambil mengatakan bahawa kesemua yang cedera mengalami "trauma otak".

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pentagon sekali lagi mengemaskini bilangan anggota tentera mereka yang mengalami kecederaan akibat daripada serangan peluru berpandu Iran di Iraq pada awal bulan ini kepada 64 orang sambil mengatakan bahawa kesemua yang cedera mengalami "trauma otak".

Ketua Pentagon, Mark Esper dan Ketua Turus Bersama, Jeneral Mark Milley pada hari Khamis juga mengatakan bahawa pihak tentera negara itu memandang serius kecederaan tersebut setelah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang mendakwa pentadbiran tentera berusaha untuk menutup kes-kes tersebut.

"Jumlah tersebut semakin meningkat," kata Milley yang turut menjelaskan bahawa proses diagnosis ke atas anggota tentera yang berada di pangkalan berkaitan pada masa serangan itu mengambil masa.

The New York Times memetik satu kenyataan Pentagon yang kini mengesahkan bahawa 68 orang anggota tenteranya mengalami kecederaan akibat daripada serangan peluru berpandu Iran.

Laporan itu turut menyatakan bahawa lapan anggota tentera itu kini dirawat di Amerika Syarikat, 21 di Landstuhl, Jerman dan 39 lagi anggota tentera yang cedera sebelum ini telah kembali berkhidmat di Iraq.

Pengumuman statistik terbaharu ini merupakan pengumuman kali keempat di mana A.S terpaksa mengemaskini angka kecederaan anggota tenteranya berikutan serangan peluru berpandu Iran pada 8 Januari sebagai respons terhadap pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani pada 3 Januari lepas.

Pentadbiran Trump pada mulanya mendakwa bahawa tiada warga Amerika Syarikat mengalami kecederaan dalam serangan itu.

"Kami tidak merekodkan kecederaan, semua anggota tentera selamat dan hanya kerosakan minimum dilaporkan di pangkalan tentera kami," kata Presiden Donald Trump sehari selepas serangan peluru berpandu.

Seminggu kemudian, bagaimanapun, tentera A.S mengumumkan bahawa 11 anggotanya mengalami kecederaan dalam serangan itu sebelum mengemaskini angka tersebut dari masa ke semasa. -Agensi