Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

14 Februari 2020

6:28:17 PTG
1010216

Tunjuk Perasaan Bantah 'Perjanjian Abad Ini' Di Amman, Jordan

Ribuan warga awam Jordan turun ke jalan raya di ibukota negara Arab itu buat kali yang ketiga untuk menyatakan kemarahan mereka ke atas pelan damai Palestin-Israel tajaan pentadbiran Presiden Donald Trump yang turut dikenali sebagai 'Perjanjian Abad Ini'.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Ribuan warga awam Jordan turun ke jalan raya di ibukota negara Arab itu buat kali yang ketiga untuk menyatakan kemarahan mereka ke atas pelan damai Palestin-Israel tajaan pentadbiran Presiden Donald Trump yang turut dikenali sebagai 'Perjanjian Abad Ini'.

Para penunjuk perasaan berhimpun di hadapan Masjid Besar Husseini di Amman pada hari Jumaat di sebalik kehadiran sejumlah besar anggota pihak keselamatan.

Mereka melaungkan pelbagai slogan anti-rejim Israel serta apa yang didakwa Trump sebagai sebuah 'perjanjian'.

Para peserta perhimpunan itu turut membawa bendera Palestin dan Jordan di dalam acara tersebut.

Di dalam kesempatan yang sama, mereka turut menolak perjanjian bernilai beberapa bilion dolar di antara Amman dan Tel Aviv.

Menurut laporan, di bawah perjanjian tersebut, Jordan bersedia untuk membeli gas asli daripada Israel dari wilayah yang diduduki oleh rejim Zionis itu.

Dewan Rendah Jordan sebelum ini telah meluluskan sebuah rang undang-undang untuk menghentikan perjanjian tersebut dan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan di dalam apa yang dilihat sebagai pengkhianatan terhadap kepentingan bangsa.

Presiden Trump pada beberapa minggu lepas telah menyampaikan taklimat beliau berhubung sebuah perjanjian damai antara Palestin-Israel tanpa restu ataupun kehadiran wakil Palestin sekaligus menggugat status pelan tersebut sebagai sebuah 'perjanjian' yang secara amnya memerlukan sekurang-kurangnya kewujudan dua pihak serta perkara yang dipersetujui bersama. -Agensi