Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Khamis

28 Mei 2020

3:18:26 PTG
1041086

60 Terbunuh Dalam Serangan Lelaki Bersenjata Di Barat Laut Nigeria

Penjenayah bersenjata membunuh 60 orang dalam rentetan serangan ke kampung-kampung di kawasan barat laut Nigeria, kata pegawai perubatan dan penduduk hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Penjenayah bersenjata membunuh 60 orang dalam rentetan serangan ke kampung-kampung di kawasan barat laut Nigeria, kata pegawai perubatan dan penduduk hari ini.

Puluhan lelaki bersenjata - yang digambarkan tempatan sebagai "penyamun" - menunggang motosikal menyerbu lima kampung di daerah Sabon Birni di negeri Sokoto pada Rabu malam, kata sumber itu kepada AFP.

"Kami menerima sejumlah 60 mayat dan beberapa orang dengan kecederaan tembakan dari kampung-kampung yang diserang oleh penyamun malam tadi," kata seorang jururawat di hospital umum di Sabon Birni.

Seorang pembantu pegawai perubatan memberikan jumlah korban yang sama dan mengatakan 'semua mayat mengalami luka peluru, kebanyakannya ditembak di kepala'.

Kedua-dua sumber meminta untuk tidak didedahkan namanya kerana mereka tidak diizinkan untuk bercakap dengan wartawan mengenai kejadian itu.

Seorang pemimpin tradisional tempatan yang bercakap dengan syarat tidak mahu didedahkan namanya kerana takut akan pembalasan, berkata lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ke rumah ketika penduduk berkumpul di sekitar.

"Kami kehilangan 60 orang dalam serangan itu. Penyamun membunuh 16 di Garki, 13 di Dan Aduwa, 22 di Kuzari, tujuh di Katuma dan dua di Masawa," katanya kepada AFP.

Tidak ada komen rasmi mengenai serangan itu, tetapi sumber keselamatan mengatakan polis akan berucap pada sidang media yang dijadualkan hari ini.

Barat laut Nigeria telah dilanda keganasan selama bertahun-tahun yang membabitkan pertembungan antara masyarakat yang bersaing merebut tanah, serangan oleh kumpulan penjenayah bersenjata berat dan pembunuhan balas oleh kumpulan pengganas.

Pertelagahan dan penculikan untuk tebusan telah berkembang berikutan tiada langkah keselamatan.

Daerah Sabon Birni, 175 kilometer dari ibu negeri Sokoto, sejak kebelakangan ini telah berulang kali diserang oleh kumpulan bersenjata.

Pada Isnin, 18 orang terbunuh ketika kumpulan bersenjata menyerang lima kampung lain di daerah Sabon Birni, kata pegawai tempatan.

Angkatan bersenjata Nigeria minggu lalu melancarkan serangan bom terhadap kem "penyamun" di kawasan jiran di barat laut sebagai sebahagian daripada usaha terbaru untuk mengekang serangan.

Pihak berkuasa sebelum ini melancarkan operasi ketenteraan berulang kali dan rundingan damai tempatan untuk cuba mengakhiri keganasan.

Namun, setakat ini tidak ada strategi yang berhasil menghentikan rusuhan yang telah membunuh sekitar 8,000 orang sejak 2011 dan menyebabkan 200,000 kehilangan tempat tinggal. - AFP