Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Jumaat

14 Ogos 2020

3:28:34 PTG
1062627

Hong Kong Masuk 'Neraka' Di Bawah China - Trump

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata pusat kewangan global, Hong Kong akan terjerumus ke dalam 'neraka' di bawah peraturan China yang diperketat.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata pusat kewangan global, Hong Kong akan terjerumus ke dalam 'neraka' di bawah peraturan China yang diperketat.

Katanya, Hong Kong tidak akan berjaya jika China mengambil alih pengendaliannya berbanding ribuan cerdik pandai yang mengendalikannya sebelum ini.

"Pasaran Hong Kong akan hancur. Tidak ada orang yang akan berniaga lagi," kata Trump kepada Fox Business.

Trump pada Mei lalu mengumumkan, beliau akan menamatkan hubungan perdagangan khas AS dengan Hong Kong sebagai balasan terhadap penindasan Beijing di wilayah yang sebelum ini sebahagian besarnya berautonomi.

Ia sekali gus menjadikan Hong Kong kehilangan kemampuannya untuk menarik perniagaan dan berfungsi sebagai antara pusat kewangan utama dunia seiring New York dan London.

"Selepas China semakin agresif dan mengambil alih, saya mengambil semuanya kembali dari Hong Kong," katanya yang sudah melakukan perang perdagangan dengan China, diikuti dengan gencatan senjata pada awal tahun ini, yang menjadi tonggak dasar luar negaranya.

Hubungan itu dilihat tidak dapat dipulihkan lagi berikutan ketegangan meningkat antara dua negara itu disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Trump turut melihat peluangnya dalam pilihan raya juga tipis berikutan virus COVID-19 yang bermula dari China.

"Pandangan saya terhadap China sudah berubah sejak mereka membiarkan wabak itu. Sekarang saya melihat China berbeza daripada sebelum wabak berlaku," katanya.

Sementara itu, ditanya adakah beliau bersetuju dengan pengkritik bahawa Presiden Xi Jinping harus undur diri, beliau berkata, masing-masing memerintah negara mereka. - AFP