Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Rabu

23 November 2022

7:13:43 PTG
1325798

Serangan berulang Iran, sasar kumpulan Kurdish di Iraq

ARBIL, IRAQ: Iran sekali lagi melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kumpulan pembangkang Kurdish Iran yang berpangkalan di Iraq.

Serangan itu tercetus susulan Iran menuduh kumpulan militan berkenaan mencetuskan kekacauan di negara Republik Islam berkenaan.

Seorang pejuang Kurdish dilaporkan terbunuh di kawasan pergunungan di utara Iraq, yang mana dua daripada kumpulan itu berkata pangkalan mereka menjadi sasaran dalam serangan udara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Iran turut digemparkan dengan protes yang berlanjutan lebih dua bulan susulan kematian wanita Kurdish, Mahsa Amini, 22, selepas beliau ditahan di Tehran kerana didakwa berpakaian tidak sesuai.Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berulang kali menyerang kumpulan penentang Kurdish yang berpangkalan di Iraq yang dilabel sebagai 'kumpulan pengganas anti-Iran'.

Satu daripada kumpulan itu, Parti Demokratik Kurdistan Iran (PDKI), berkata ia diserang dengan peluru berpandu dan dron berani mati di Koya dan Jejnikan, berhampiran Arbil, ibu kota Kurdistan, di Iraq.

Wakil rasmi parti itu, Ali Boudaghi, berkata seorang pejuang Kurdish peshmerga terbunuh dalam serangan di kawasan Koya.

"Serangan yang dibuat secara sewenang-wenangnya ini berlaku ketika rejim pengganas Iran tidak dapat menghentikan demonstrasi yang berterusan di Kurdistan (Iran)," kata parti Kurdish tertua di Iran, PKPI.

Kumpulan nasionalis Kurdish Iran, Komala berkata, mereka turut menjadi sasaran.

"Ibu pejabat kami sekali lagi diserang oleh rejim Islam malam ini.

"Kami sudah bersedia dan berhati-hati dengan jenis serangan sebegini. Buat masa ini, kami tidak menanggung apa-apa kerugian," katanya.

342/