Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Khamis

24 November 2022

9:48:20 PTG
1325999

37 maut dalam kemalangan jalan raya Nigeria

KANO: Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh semalam apabila tiga bas bertembung di luar bandar Maiduguri di timur laut Nigeria, menurut agensi keselamatan jalan raya negara itu.

Ketua agensi keselamatan jalan raya bagi negeri Borno, Utten Boyi, berkata kemalangan itu berlaku apabila dua bas komersial bertembung secara langsung dan terbakar, sebelum bas ketiga kemudian merempuhnya.

"Setakat ini, 37 orang disahkan maut dan kebanyakannya melecur sehingga tidak dapat dikenali.

"Kemalangan itu berlaku apabila tayar sebuah bas pecah dan ia melanggar kenderaan yang datang dari arah bertentangan," katanya sambil mendakwa bas dipandu terlalu laju menjadi punca kemalangan.

Kemalangan adalah perkara biasa di jalan raya Nigeria yang tidak diselenggara dengan baik, negara paling ramai penduduk di Afrika, disebabkan sebahagian besarnya oleh kelajuan dan mengabaikan peraturan lalu lintas.

Semalam, 17 orang terbunuh dan empat cedera apabila sebuah bas merempuh sebuah trak berhampiran ibu negara Nigeria, Abuja, manakala sembilan orang lemas Sabtu lalu apabila kereta yang terlebih muatan terjunam ke dalam empangan selepas tayarnya pecah di luar bandar utara Kano, menurut pegawai keselamatan kebakaran.

Sementara itu, di Bukavu, Republik Demokratik Congo (DRC), seramai 16 orang di sebuah bandar perlombongan di timur DRC maut dalam kejadian tanah runtuh disebabkan hujan lebat.

Pemangku Datuk Bandar, Alexandre Ngandu, berkata kemalangan itu berlaku di Kamituga di wilayah Kivu Selatan di mana angka kematian 16 orang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Ketua Persatuan Sivil Baru Kamituga, Tristan Mukamba Mwanga, berkata empat kawasan di bandar itu berdepan keadaan tanah runtuh di mana banyak pondok dibina di atas cerun yang tidak dibenarkan.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya 20 orang maut dalam kejadian tanah runtuh dan banjir minggu lalu di Masisi, di wilayah Kivu Utara yang berdekatan.