Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Selasa

29 November 2022

10:15:47 PTG
1327402

AS dijangka suntik dana kewangan besar kepada Ukraine

BUCHAREST: Amerika Syarikat (AS) dijangka mengumumkan bantuan kewangan yang 'besar' kepada Ukraine hari ini, bagi membantu negara itu membaiki kerosakan akibat serangan Russia terhadap infrastruktur tenaganya.

Seorang pegawai kanan yang enggan dikenali berkata bantuan itu, yang akan diperincikan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, ketika mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Bucharest, adalah 'cukup besar dan bukan yang terakhir'.

Meskipun enggan memberi perincian lanjut, pegawai itu memaklumkan pentadbiran Biden memperuntukkan sekitar AS$1.1 bilion (RM5 bilion) untuk perbelanjaan tenaga di Ukraine dan Moldova.

Katanya, pengumuman bantuan kewangan itu dijangka dibuat menjelang persidangan penyumbang antarabangsa bagi menyokong penentangan awam Ukraine, yang akan diadakan pada 13 Disember depan di Perancis.Sebelum ini, Kyiv memaklumkan kempen serangan peluru berpandu Russia yang menyasarkan infrastruktur tenaga Ukraine merosakkan antara 25 hingga 30 peratus grid negara itu.Menurut pegawai AS itu, Russia menyasarkan serangannya ke arah stesen pencawang besar dan bukan sekadar loji jana kuasa, bertujuan menjejaskan keseluruhan jaringan tenaga Ukraine, daripada peringkat penjanaan hingga pengagihan.

Menteri luar NATO akan bersidang hari ini dan esok di Bucharest bagi membincangkan mengenai sokongan gabungan itu terhadap Ukraine sejak pencerobohan Russia berlaku.

Jerman, yang mempengerusikan G7 ketika ini, turut mengatur mesyuarat sampingan bagi membincangkan mengenai krisis tenaga akibat perang di Ukraine.

Pegawai kanan AS itu memaklumkan, AS akan menggesa semua negara anggota NATO untuk meningkatkan bantuan dalam sektor tenaga.

Romania serta Moldova adalah antara negara yang teruk terkesan dengan perang itu, dengan kira-kira dua juta penduduk melarikan diri dari Ukraine melalui Romania dan Moldova. Ketika ini, Bucharest menempatkan hampir 80,000 pelarian.

342/