Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Jumaat

2 Disember 2022

8:25:33 PTG
1328019

Netanyahu beri kuasa uruskan penempatan pada parti ekstremis Yahudi

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi kuasa utama kepada parti ekstremis Yahudi pro penceroboh Israel, Religious Zionism, bagi menyelia pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki.

Beliau juga mengumumkan pembentukan kerajaan gabungan, yang menyaksikan pasti Religious Zionism mendapat jawatan penting dalam Kabinet.

Perjanjian Netanyahu dengan parti terbabit menandakan kejayaan penting bagi beliau ketika cuba menyusun kerajaan selepas pilihan raya 1 November lalu, namun ia berpotensi mencetuskan konflik dengan sekutu utama, khususnya Amerika Syarikat (AS).

Parti Likud pimpinan Netanyahu berkata, Religious Zionisme akan berkongsi kawalan ke atas Kementerian Kewangan, bertanggungjawab ke atas imigresen dan mengetuai kementerian baharu untuk 'misi kebangsaan'."Seorang anggota parti akan memegang jawatan khas peringkat menteri di Kementerian Pertahanan, yang bertanggungjawab dalam pembinaan penempatan di Tebing Barat yang diduduki, dengan penyelarasan daripada Netanyahu.

"Ini adalah langkah tambahan penting ke arah pembentukan kerajaan negara berhaluan kanan," kata Netanyahu.Perjanjian itu juga memberikan Religious Zionisme kawalan ke atas Jawatankuasa Parlimen yang dijangka meluluskan pembaharuan menyeluruh dalam sistem perundangan negara.

Pengerusi parti Religious Zionisme, Bezalel Smotrich, menyifatkan perjanjian itu sebagai 'langkah bersejarah' tetapi sebaliknya menjadi sejarah hitam bagi penduduk Palestin yang sememangnya tertekan sekarang.

Katanya, kemunculan kerajaan baru akan memulihkan keselamatan dan tadbir urus, menggalakkan pembaharuan bersejarah dalam sistem perundangan, mengawal selia dan membangunkan perusahaan penempatan, identiti Yahudi dalam semangat Religious Zionisme dan dengan bangga mengibarkan bendera Zionisme.

Smotrich ialah pemimpin pergerakan penempatan Tebing Barat dan sedang melakukan peningkatan besar-besaran dalam pembinaan perumahan Yahudi di wilayah diduduki, yang dituntut oleh Palestin sebagai ibu negara masa depan mereka.

Bagaimanapun, masyarakat antarabangsa, termasuk AS menganggap pembinaan penempatan itu haram atau tidak sah tetapi tiada tindakan diambil mana-mana pihak bagi menghentikannya.

Ketika ini, Netanyahu, yang menang pada pilihan raya 1 November lalu, cuba mengalihkan perhatiannya kepada parti ultra-Ortodoks dalam usahanya untuk menyelesaikan pembentukan kerajaan gabungan.

Setakat ini, beliau sudah mencapai persetujuan dengan dua pemimpin parti berhaluan kanan iaitu Itamar Ben-Gvir, ahli politik pelampau anti-Arab dan kerap bersikap provokatif, yang dilantik sebagai Menteri Keselamatan Kebangsaan bagi memantau pasukan polis.

Seorang lagi adalah Avi Maoz, yang terkenal kerana pandangan anti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) dan sering mengkritik golongan Yahudi bukan otrodoks, akan bertanggungjawab bagi 'identiti Yahudi'.

Netanyahu mempunyai masa sehingga tengah malam pada 11 Disember ini untuk membentuk kerajaan, namun boleh mendapatkan tambahan dua minggu daripada presiden istiadat negara itu.

342/