Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Ahad

4 Disember 2022

8:25:25 PTG
1328662

Seorang penunjuk perasaan ditembak mati di Syria - Laporan

BEIRUT: Pasukan keselamatan didakwa menembak mati sekurang-kurang seorang penunjuk perasaan di bandar Sweida, selatan Syria, semalam, menurut kumpulan pemantau peperangan dan agensi berita tempatan.

Kejadian berlaku ketika ratusan penunjuk perasaan mengadakan bantahan susulan keadaan kehidupan yang semakin buruk.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Syria, ketegangan kian memuncak apabila sebilangan penunjuk perasaan melempar batu sebelum menyerbu sebuah bangunan kerajaan dan menurunkan gambar besar Presiden Bashar al-Assad.

"Sekurang-kurang seorang terbunuh apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan selepas penunjuk perasaan memasuki bangunan itu," dakwa ketua kumpulan pemerhati terbabit, Rami Abdel Rahman, kepada AFP.Aktivis daripada agensi berita tempatan Suwayda24, Rayan Maarouf turut mendakwa perkara sama, selain memaklumkan empat lagi yang cedera ditembak sudah dibawa ke hospital.

Suwayda24 memaparkan imej dalam media sosial yang menunjukkan penunjuk perasaan melaung slogan mendesak supaya rejim ditumbangkan, manakala pasukan keselamatan berkawal di luar bangunan terbabit.Imej lain pula menunjukkan sebuah kenderaan tentera sedang dijilat api, selain tayar dibakar di jalan raya utama bandar itu. Bunyi tembakan juga kedengaran dalam sesetengah rakaman.

Stesen televisyen pula melaporkan golongan 'melanggar undang-undang' didakwa menyerbu bangunan kerajaan wilayah berkenaan serta membakar dokumen rasmi, tanpa memberi butiran lanjut ketika itu.

Ekonomi Syria terjejas teruk akibat perang saudara yang berlarutan dan sekatan dikenakan Barat ke atas Damsyik, manakala nilai mata wang tempatan menjunam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 90 peratus populasi Syria kini hidup di bawah garis kemiskinan, dengan 12.4 juta penduduk tidak terjamin makanan.

Keadaan di Sweida dan bandar lain di Syria semakin kritikal berikutan pelaksanaan catuan elektrik di seluruh negara, ditambah lagi dengan masalah kekurangan kronik bahan api sehingga rakyat menjalani kehidupan amat perit.

342/