Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Isnin

19 Disember 2022

8:59:15 PTG
1332302

Taliban Pakistan tewaskan pengawal, rampas pusat polis

Polis berkawal di sepanjang jalan yang ditutup selepas militan Taliban Pakistan merampas kawasan di balai polis di Bannu, Pakistan

PESHAWAR: Beberapa tahanan Taliban Pakistan berjaya menewaskan pengawal di pusat memerangi keganasan di barat laut Pakistan dan merampas senjata polis serta mengambil alih kawalan kemudahan itu.

Menurut jurucakap kerajaan wilayah, Mohammad Ali Saif, perampas pusat tahanan di Bannu, daerah di wilayah Khyber Pakhtunkhwa itu turut menjadikan polis dan orang lain sebagai tebusan.

Pegawai berkata sekurang-kurangnya 30 pejuang Taliban terbabit dalam pengambilalihan itu, manakala lebih 10 tebusan ditahan.

Tindakan itu mencerminkan ketidakupayaan kerajaan Pakistan melaksanakan kawalan pada setiap masa di kawasan terpencil di sepanjang sempadan Afghanistan.

DISYORKAN UNTUK ANDA3 maut, 23 cedera angkara dibom kumpulan Taliban PakistanLayanan Taliban terhadap wanita mungkin jenayah terhadap kemanusiaanSeorang maut terkena serangan mortar Taliban AfghanistanTaliban benarkan remaja perempuan Afghanistan duduki peperiksaan

Taliban Pakistan adalah kumpulan berasingan tetapi bersekutu dengan Taliban Afghanistan, yang merampas kuasa di negara jiran itu tahun lalu, ketika tentera Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mula meninggalkan Afghanistan.

Serangan lewat malam semalam itu dikatakan berlaku ketika polis menyoal siasat tahanan Taliban.

Hari ini, Pakistan menghantar tentera dan pasukan polis khas ke kawasan itu ketika pegawai keselamatan cuba berunding dengan pengambil tebusan.

Saif berkata tempat itu kini dikepung dan operasi sedang dijalankan.

Pihak berkuasa dipercayai masih mengadakan perbincangan dan meminta bantuan beberapa kerabat pemberontak Taliban.

Pegawai berkata beberapa anggota tentera turut dijadikan tebusan dan wujud kebimbangan tentera mungkin menyerbu kemudahan itu jika rundingan gagal.

Dalam mesej video yang tular di media sosial, kumpulan itu mengugut untuk membunuh pegawai jika laluan selamat mereka tidak segera diatur oleh kerajaan.

Jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan atau TTP, Mohammad Khurasani, mengesahkan kejadian itu dan berkata sebahagian daripada mereka yang mengambil tebusan adalah anggota Taliban Pakistan yang ditahan selama bertahun-tahun.

Khurasani berkata pejuang TTP menuntut laluan selamat ke Waziristan Utara atau Selatan.

Kawasan itu adalah kubu kuat Taliban sehingga gelombang serangan tentera sejak beberapa tahun lalu yang mengisytiharkan wilayah itu bebas daripada pemberontak.

Sejak itu, pemimpin tertinggi dan pejuang TTP bersembunyi di negara jiran Afghanistan dan menguasai sebahagian besar wilayah di kawasan berkenaan.

Terdahulu, dalam mesej video, kumpulan itu menuntut mereka dihantar ke Afghanistan tetapi Khurasani berkata permintaan itu dibuat secara tidak sengaja.

Ini kerana pejuang yang sudah lama ditahan itu tidak menyedari bahawa TTP kini menguasai sebahagian besar Khyber Pakhtunkhwa, berhampiran sempadan Afghanistan.

Taliban Pakistan meningkatkan serangan ke atas pasukan keselamatan sejak bulan lalu, apabila mereka secara sebelah pihak menamatkan gencatan senjata selama sebulan dengan kerajaan Pakistan.

Keganasan itu merenggangkan hubungan antara kerajaan Pakistan dan pemimpin Taliban Afghanistan, yang menjadi perantara gencatan senjata pada Mei lalu.

TTP melancarkan pemberontakan di Pakistan sejak 15 tahun lalu, memperjuangkan penguatkuasaan undang-undang Islam yang lebih ketat, pembebasan anggota mereka yang berada dalam tahanan kerajaan dan pengurangan kehadiran tentera Pakistan di kawasan bekas suku kaum di negara itu. - AP


342/