Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com.my
Sabtu

31 Disember 2022

6:55:46 PTG
1334888

PBB minta Mahkamah Dunia beri pandangan isu pendudukan Israel

Seorang lelaki memegang bendera Israel dan papan tanda dalam bahasa Ibrani yang bermaksud ‘Tiada demokrasi jika ada pendudukan’ pada protes di luar Knesset, Parlimen Israel.

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggotai 193 ahli semalam meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan pendapat mengenai impak undang-undang susulan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Israel menawan Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur, kawasan yang diperjuangkan rakyat Palestin pada perang 1967.

Ia berundur dari Gaza pada 2005, tetapi terus mengawal sempadan enklaf itu bersama dengan negara jirannya, Mesir.

Permintaan untuk mendapatkan pandangan mahkamah mengenai pendudukan Israel di wilayah Palestin dibuat dalam resolusi yang diterima Perhimpunan Agung PBB dengan sebanyak 87 undian yang menyokongnya.Israel, Amerika Syarikat (AS) dan 24 ahli yang lain mengundi bagi menolak cadangan berkenaan, sementara 53 negara lain pula kekal berkecuali.

"Tiada badan antarabangsa boleh memutuskan bahawa Israel adalah 'penjajah' di tanah air mereka sendiri. Sebarang keputusan daripada badan kehakiman yang menerima mandatnya daripada PBB yang dipolitikkan secara moral adalah tidak sah sama sekali," kata Duta Israel PBB, Gilad Erdan kenyataan menjelang pengundian berkenaan. Bulan lalu, bekas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid menggesa pemimpin dunia menentang langkah itu, malah beliau mendakwa jika perkara itu dibawa ke mahkamah, 'ia akan diuruskan oleh kelompok pelampau'.

Pejuang Hamas mengambil alih Gaza pada 2007 selepas perang saudara yang singkat dengan parti lawan, Fatah.

Untuk rekod, sebanyak tiga peperangan telah berlaku di Gaza membabitkan pertembungan di antara Hamas dan Israel.

Perhimpunan Agung PBB meminta ICJ memberikan pendapat dari segi impak undang-undang mengenai 'pendudukan, penempatan dan pengilhakan Israel, termasuk langkah yang bertujuan mengubah komposisi demografi, status Kota Suci Baitulmaqdis, perundangan dan langkah diskriminasi yang berkaitan'.

Resolusi PBB turut meminta ICJ untuk menasihati bagaimana dasar dan amalan berkenaan 'mempengaruhi status undang-undang pendudukan' dan apakah akibat undang-undang yang berbangkit kepada semua negara dan PBB.

ICJ yang berpangkalan di Hague dan turut dikenali sebagai Mahkamah Dunia, ialah mahkamah tertinggi PBB yang menangani pertikaian antara negara.

ICJ kali terakhir meneliti konflik antara Israel dan Palestin pada 2004, apabila ia memutuskan bahawa halangan pemisah Israel adalah tidak sah.

Israel bagaimanapun menolak keputusan itu dan menuduh mahkamah mempunyai agenda politik.