Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com.my
Sabtu

31 Disember 2022

6:57:52 PTG
1334890

Universiti Israel bantah inisiatif perundangan diskriminasi kerajaan baharu

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (duduk, kiri) dan Presiden, Yitzhak Herzog (duduk, kanan) bersama kerajaan ke 37 Israel yang rata-rata dianggotai gabungan parti berhaluan kanan dan pelampau agama.

BAITULMAQDIS: Lebih banyak universiti Israel semalam membantah inisiatif perundangan yang mendiskriminasi wanita, kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta warga Arab oleh kerajaan gabungan haluan kanan baharu Israel.

Institut Teknologi Israel (Technion) semalam mengeluarkan kenyataan amaran mengenai risiko ancaman terhadap imej Israel menerusi inisiatif sedemikian, sambil menambah ia akan mencapai matlamatnya tanpa mendiskriminasi sesiapa berdasarkan kaum, agama, kewarganegaraan, jantina atau orientasi seksual.

Semalam, Universiti Haifa juga mengeluarkan kenyataan amaran bahawa inisiatif perundangan kerajaan sayap kanan dan agama yang baharu itu mengundang diskriminasi dan mengecualikan kumpulan penduduk tertentu dalam masyarakat Israel, memupuk kebencian terhadap komuniti LGBT dan menyemai ketakutan di negara itu.Sementara, Institut Sains Weizmann pula berikrar dalam satu kenyataan semalam, menegaskan pihaknya akan 'terus berdiri teguh di tengah pelanggaran hak komuniti LGBT dan kumpulan lain dalam menghadapi perbuatan menghasut dan keganasan'.Selasa lalu, Universiti Hebrew di Baitulmaqdis, dalam satu kenyataan, menekankan pihaknya akan terus mempromosikan nilai kesaksamaan penuh, kebebasan dan maruah manusia dalam apa juga bentuk.

"Sebagai masyarakat bertamadun, kita mesti mengecam wacana keratan yang bertujuan mencapai ketuanan dan mengecualikan seluruh penduduk daripada aturan sosial Israel yang rapuh," katanya.

Dalam surat terbuka yang dikeluarkan pada Rabu lalu kepada pelajarnya, Universiti Tel Aviv menyatakan: 'hari ini, suara-suara melampau kedengaran, menimbulkan idea mengejutkan yang bertujuan merosakkan jaringan halus kehidupan kita'.

Selain itu, ia berikrar untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana entiti melaksanakan dasar diskriminasi yang tidak wajar.

Terdahulu, Universiti Bar Ilan, Universiti Ben Gurion dan Universiti Reichman di Israel juga menyatakan ketiga-tiga mereka menentang diskriminasi dan pengecualian kumpulan tertentu penduduk.

Baru-baru ini, hospital terkemuka di Israel bangkit menentang inisiatif perundangan yang diambil oleh kerajaan baharu untuk membenarkan doktor menolak rawatan kepada kumpulan penduduk tertentu, seperti golongan LGBT, jika ia bertentangan dengan kepercayaan agama doktor berkenaan.

Semalam, kerajaan gabungan baharu Israel yang diketuai oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, pemimpin paling lama berkhidmat di negara itu, mengangkat sumpah pada majlis perasmian di Parlimen Israel atau Knesset.

Gabungan baru kerajaan paling kanan dalam sejarah Israel, terdiri daripada parti Likud pimpinan Netanyahu; Religious Zionisme yang pro penceroboh dan menggesa pengilhakan Tebing Barat yang diduduki.

Turut menyertai gabungan itu ialah parti Jewish Power yang ketuanya disabitkan bersalah menyokong keganasan Yahudi dan menghasut perkauman serta parti Noam, parti pelampau kanan yang menentang hak LGBT, serta Shas dan United Torah Judaism, dua parti ultra-Ortodoks.