Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : https://www.bharian.com.my/
Rabu

8 Februari 2023

7:58:04 PTG
1344860

Gempa bumi: PBB umum bantuan kemanusiaan AS$25 juta untuk Turkiye, Syria

AMERIKA SYARIKAT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bantuan kemanusiaan AS$25 juta (RM110 juta) masing-masing kepada Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi sehingga mengorbankan lebih 7,000 nyawa.

Bantuan yang disalurkan itu akan membantu menyelamatkan nyawa mangsa kedua-dua negara yang terbabit, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada pemberita di ibu pejabat pertubuhan dunia itu.

"Pasukan penilaian dan penyelarasan bencana PBB berada di Adana hari ini dan bergerak ke Gaziantep esok untuk menyokong pasukan mencari dan menyelamat bandar Turkiye.

''Ia turut membabitkan mangsa yang terperangkap dalam bencana itu, termasuk beribu-ribu pelarian dari Syria," katanya.

Dujarric berkata, pelarian Syria membentuk lebih 1.7 juta daripada 15 juta penduduk yang tinggal di 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye.

''Kami akan melakukan apa sahaja yang kerajaan Turki mahu kami lakukan dan cuba membantu sebaik mungkin,'' katanya.

Beliau berkata, jalan ke barat laut Syria dari Turkiye juga rosak dan ia mengganggu bantuan kemanusiaan untuk sementara waktu ke kawasan yang dikuasai pemberontak yang dilanda gempa.

Angka kematian di Turkiye akibat gempa bumi besar yang berpusat di Kahramanmaras pada Isnin lalu meningkat kepada 5,434, menurut agensi bencana kebangsaan, dengan lebih 31,000 cedera.

Wilayah lain yang terjejas akibat gegaran itu ialah Gaziantep, Hatay, Osmaniye, Adıyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.

Gegaran itu turut dirasai di negara jiran Syria, mengakibatkan kerosakan yang meluas. - AGENSI

342/