Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : https://www.bharian.com.my/
Selasa

14 Februari 2023

7:10:52 PTG
1346466

Hentikan tindakan Israel roboh penempatan Palestin - Pakar PBB

GENEVA: Pakar hak asasi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa masyarakat dunia bertindak menghentikan lonjakan dramatik perobohan penempatan rakyat Palestin yang dilakukan Israel secara 'sistematik dan sengaja'.

Bulan lalu saja, pihak berkuasa Israel dilapor merobohkan 132 bangunan rakyat Palestin dalam 38 komuniti di Tebing Barat, termasuk 34 premis kediaman, menurut tiga pakar bebas itu dalam satu kenyataan.

Pelapor Khas bagi hak asasi di wilayah Palestin berkata, angka perobohan itu meningkat 135 peratus berbanding Januari 2022. Ia adalah berdasarkan perangkaan Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

"Perobohan kediaman rakyat Palestin secara sistematik, pembinaan penempatan haram Israel, dan penafian secara sistematik terhadap permit bangunan untuk rakyat Palestin di Tebing Barat, adalah bersamaan dengan 'domisid'."Serangan secara langsung ke atas kediaman, sekolah, mata pencarian dan sumber air rakyat Palestin adalah cubaan Israel untuk menyekat hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, serta mengancam kewujudan mereka," kata pakar berkenaan dalam kenyataan itu.

Pada akhir tahun lalu, Pelapor Khas mengenai hak untuk perumahan, Balakrishnan Rajagopal menggesa supaya 'domisid' - ditakrifkan sebagai pemusnahan besar-besaran dengan sewenang-wenang terhadap perumahan awam dalam konflik ganas - diiktiraf sebagai jenayah bawah undang-undang antarabangsa.Mengulas lanjut, pakar-pakar terbabit yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB tetapi tidak bercakap bagi pihak PBB, sekali lagi menzahirkan kebimbangan mereka akan keadaan di perkampungan Masafer Yatta di Tebing Barat. Mereka memberi amaran bahawa lebih 1,100 penduduk Palestin di kawasan itu terus berdepan 'risiko akan berlaku pengusiran secara paksa, perobohan kediaman serta kehilangan tempat tinggal dengan sewenang-wenang, selain mata pencarian, sumber air dan struktur sanitasi mereka. "Taktik Israel mengusir dan memindahkan rakyat Palestin secara paksa dilihat tiada batas. "Di Baitulmaqdis Timur, puluhan keluarga Palestin juga berdepan risiko akan berlaku pemindahan dan pengusiran secara paksa, akibat pengezonan serta perancangan rejim secara diskriminasi yang memihak kepada peluasan penempatan Israel - iaitu tindakan yang haram bawah undang-undang antarabangsa dan bersamaan dengan jenayah perang," menurut pakar terbabit. Kenyataan mereka menyusul sehari selepas Kabinet Keselamatan rejim Zionis mengumumkan akan membuka sembilan lagi penempatan haram Yahudi di Tebing Barat. 

342/