Tanggungjawab itu digalas Nayef al-Sudairi yang merupakan Duta Arab Saudi Ke Jordan, menurut kenyataan dalam media sosial oleh kedutaan berkenaan di Amman dan disahkan oleh pegawai Kementerian Luar Arab Saudi.
"Pelantikan itu adalah langkah penting sejajar hasrat Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman untuk mengukuhkan hubungan dengan Palestin serta memacu rangsangan rasmi dalam semua bidang," kata Sudairi dalam rakaman video disiarkan saluran Al-Ekhbariya.
Secara tradisinya, fail untuk Wilayah Palestin dikendalikan oleh Kedutaan Arab Saudi di Amman.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan Penasihat Presiden Palestin Untuk Hal Ehwal Diplomatik, Majdi al-Khaldi, mengalu-alukan pelantikan Sudairi sebagai duta ke Palestin.
"Ia akan menyumbang ke arah memperkukuhkan lagi hubungan persaudaraan yang teguh dan padu antara kedua-dua negara serta rakyat," kata Khaldi selepas Sudairi menyerahkan salinan watikah pelantikannya pada pertemuan di Kedutaan Palestin di Amman, semalam.
Sementara itu, seorang pegawai Pihak Berkuasa Palestin menyifatkan pengumuman berkenaan menunjukkan Arab Saudi mengulangi pengiktirafannya terhadap Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
"Ini adalah sebahagian daripada beberapa langkah, dan kami akan terus membina hubungan dengan mereka," katanya kepada AFP tanpa mahu dinamakan.
342/