Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Ahad

5 November 2023

6:22:56 PTG
1408866

Israel seksa pekerja Gaza hingga mati

GENEVA: Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med (Euro-Med Monitor) mendedahkan ribuan pekerja Gaza mengharungi pelbagai bentuk penyeksaan mengerikan oleh tentera Israel ketika penahanan mereka selama empat minggu, yang mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya seorang daripada mereka.

Testimoni ngeri diberikan kepada Euro-Med Monitor selepas pengusiran lebih 3,000 pekerja Palestin ke Semenanjung Gaza, Jumaat lalu. Pekerja, Mansour Nabhan Warsh Agha, dari utara Semenanjung Gaza, disahkan diseksa hingga mati, manakala nasib ribuan lagi masih belum diketahui. Mengikut keterangan yang dikumpulkan Euro-Med Monitor, pekerja yang dihantar pulang itu dilaporkan ditutup mata, dengan tangan dan kaki mereka diikat, dan dibawa dengan bas persendirian Israel ke persimpangan Kerem Abu Salem di tenggara Gaza.Mereka terpaksa berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer sebelum sampai ke pintu persimpangan Rafah dan memasuki Semenanjung Gaza. Seorang pekerja berusia 62 tahun, yang dikenal pasti sebagai "AS," memberitahu pasukan Euro-Med Monitor, sebaik tiba di Semenanjung Gaza, tentera Israel menahan mereka selama 10 hari dan menjalani soal siasat secara keras. "Mereka meminta kami memberikan butiran mengenai kumpulan bersenjata Palestin dan sesiapa yang menjawab tidak mempunyai sebarang maklumat, dipukul tanpa belas kasihan. "Saya menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi, dan saya mengalami masalah cakera hernia. Mereka membiarkan kami tanpa makanan dan ubat untuk jangka masa yang lama, memburukkan lagi keadaan kesihatan saya yang sukar. "Saya tiba di tempat perpindahan keluarga saya di tengah-tengah Semenanjung Gaza, tidak dapat bergerak selepas berjalan jauh dengan kaki dirantai, tangan diikat ke belakang dan ditutup mata," katanya. Euro-Med Monitor mengesahkan, pekerja berkenaan dikenakan pelbagai bentuk penyeksaan, pukulan dan penderaan kejam ketika penahanan mereka, serta ugutan psikologi semasa dan selepas siasatan intensif. Keterangan menyatakan pekerja berkenaan mengalami tahap penderaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, termasuk ditinggalkan tanpa makanan dan air selama beberapa hari, diseksa, dikenakan renjatan elektrik dan dibakar, serta diganggu secara seksual dan sengaja dimalukan dengan membuang air kecil pada badan mereka. Tambahan lagi, ramai pekerja Palestin didera majikan Israel mereka, yang turut enggan membayar gaji. Perbuatan itu termasuk meludah ke muka dan menghina mereka. Euro-Med Monitor melahirkan rasa terkejut terhadap perbuatan haram itu, sekali gus menyeru Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan semua organisasi berkaitan untuk menyiasat insiden penyeksaan dan penderaan berkenaan serta mempertanggungjawabkan mereka yang terbabit. 


342/