Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Khamis

14 Disember 2023

4:39:29 PTG
1420328

360,000 kes penyakit dikesan di tempat perlindungan Gaza

GAZA: Kira-kira 360,000 kes penyakit dikesan di tempat perlindungan yang mempunyai 1.9 juta orang yang dipindahkan akibat serangan berterusan tentera Israel, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporan situasi terbarunya, semalam.

Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Wilayah Palestin yang diduduki, Lynn Hastings, berkata Gaza kini menghadapi bencana kesihatan awam.

"Kita semua tahu bahawa sistem penjagaan kesihatan sedang atau sudah runtuh.

"Kami mempunyai formula tertulis untuk wabak dan bencana kesihatan awam. Kira-kira 360,000 penyakit dikesan di tempat perlindungan ini," katanya pada sidang media secara maya.Beliau berkata, tentera Israel yang melakukan pendudukan besar-besaran perlu bertanggungjawab untuk melindungi penduduk awam Palestin. "Ini bermakna mereka perlu menyediakan keperluan asas, memastikan terdapat akses kemanusiaan tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan. "Apa yang berlaku di lapangan tidak akan membawa keamanan dan keselamatan sama ada kepada rakyat Palestin atau Israel selama bertahun-tahun dan generasi akan datang," katanya sambil menambah bahawa gencatan senjata adalah satu-satunya 'jalan ke hadapan'. Kementerian Kesihatan Gaza turut memaklumkan mereka kehabisan vaksinasi kanak-kanak. Perkembangan itu disifatkan boleh membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan kanak-kanak dan akan meningkatkan penularan penyakit. Sebelum ini, di selatan Rafah, pegawai kesihatan berkata 22 orang termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah kediaman. Pekerja kecemasan awam sedang mencari lebih ramai mangsa di bawah runtuhan. Penduduk dan agensi bantuan berkata, tiada lagi tempat yang selamat di wilayah di mana pengeboman menyebabkan sebahagian besar orang kehilangan tempat tinggal dan hampir semua kawasan terputus sepenuhnya daripada bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api. Kebuluran semakin teruk, dengan Program Makanan Dunia PBB memaklumkan separuh daripada penduduk Gaza kelaparan. Pejabat kemanusiaan PBB (OCHA), berkata pengagihan bantuan terhad berlaku di daerah Rafah, tetapi di seluruh Semenanjung Gaza, pengagihan bantuan sebahagian besarnya dihentikan sejak beberapa hari lalu, disebabkan oleh intensiti permusuhan dan sekatan pergerakan di sepanjang jalan utama. - AGENSI