Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang gadis Syria yang menetap di Amerika Syarikat terpaksa menangguhkan perkahwinannya yang dijadualkan pada musim luruh ini di New York akibat arahan eksekutif Presiden Donald Trump.
Hari itu sepatutnya menjadi hari bahagia buat Rama Issa, yang menetap di AS sejak 2011, tetapi terpaksa menguburkan impiannya selepas Mahkamah Agung mengembalikan semula sebahagian larangan Trump terhadap warganegara dari 6 negara majoriti Islam awal minggu ini.
Ini bermakna beberapa ahli keluarga Rama dari luar negara tidak dapat menghadiri majlis itu.
“Ia sangat tertekan untuk menjadi pengantin dan mengatur perkahwinan tapi akhirnya mendapati kamu tidak boleh menjemput keluarga sendiri,” kata Rama kepada Al Jazeera di luar Terminal 4 Lapangan Terbang JFK, New York.
“Saya tidak mahu kerajaan beritahu saya siapa yang sepatutnya menjadi sebahagian keluarga saya dan siapa yang tidak.”
Rama berada di lapangan terbang itu untuk membantu pelancong lain yang terperangkap dalam larangan sementara Trump terhadap pelancong dari Syria, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.
Kesnya menonjolkan masalah yang dibangkitkan keputusan Mahkamah Agung yang membenarkan arahan eksekutif Trump berkuatkuasa tetapi menyempitkan ruang lingkupnya, dengan mengecualikan pelancong dan pelarian yang mempunyai “hubungan baik” dengan individu atau entiti di AS.
Rabu lalu, Jabatan Negara AS berkata pemohon visa dari 6 negara perlu mempunyai hubungan kekeluargaan terdekat atau hubungan rasmi dengan entiti AS untuk dibenarkan masuk ke negara itu.
Penduan Jabatan Negara ke atas larangan itu mentakrifkan hubungan terdekat sebagai ibu bapa, pasangan, anak kecil, anak lelaki atau perempuan dewasa, menantu lelaki, menantu perempuan atau adik-beradik, termasuk adik-beradik tiri dan hubungan keluarga tiri yang lain.
“Datuk dan nenek, cucu, ibu saudara, bapa saudara, anak saudara, sepupu, ipar-duai, tunang dan ahli keluarga selanjutnya yang lain” tidak dianggap sebagai keluarga terdekat, menurut kenyataan itu.
Bagi Rama, ini bermakna ayahnya di Damsyik boleh memohon visa tetapi ibu dan bapa saudaranya, yang sama-sama melalui kesulitan hidup akibat perang saudara di Syria, tidak memperoleh visa.
Menurut Rama, sepupunya yang diseksa pasukan keselamatan Syria yang kini menjadi pelarian di Austria juga tidak dapat meraikan perkahwinannya di AS, termasuk sepupunya di Lubnan.
Mahkamah membenarkan larangan berkuatkuasa sehingga dasar itu dikaji semula sepenuhnya Oktober ini.
“Pentadbiran ini akan mentakrifkan semula apa itu keluarga,” kata Rama, di mana keluarga sebelah ibunya menetap di AS.
“Ia memberikan kesan psikologi kepada saya. Kami terpaksa menangguhkan perkahwinan sehingga Mahkamah Agung memutuskan perkara itu (tahun ini), mungkin ada harapan sekurang-kurangnya sepupu saya dapat hadir perkahwinan ini.”
Trump pertama kali mengumumkan larangan perjalanan sementara selepas mengangkat sumpah presiden pada Januari. Beliau mengumumkan larangan itu untuk membangunkan pemeriksaan keselamatan yang lebih baik.
Perintah itu menyebabkan kekeliruan besar di lapangan terbang kerana pegawai bergegas menguatkuasakan larangan dan disekat mahkamah persekutuan. Versi semakan larangan itu pada Mac juga disekat mahkamah.
Khamis lalu, beberapa jam sebelum versi sempit arahan Trump itu berkuatkuasa pukul 8.00 malam waktu tempatan, lapangan terbang New York kelihatan lebih teratur.
30 Jun 2017 - 11:04
News ID: 839597

Seorang gadis Syria yang menetap di Amerika Syarikat terpaksa menangguhkan perkahwinannya yang dijadualkan pada musim luruh ini di New York akibat arahan eksekutif Presiden Donald Trump.