Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

22 September 2019

1:58:18 PTG
977247

Suluk Ilmu Kalam: Kenapa Perlu Cari Tuhan?

Kehidupan moden secara keseluruhan telah memberikan kesan yang mendalam ke atas gaya hidup manusia termasuk dalam menentukan prioriti ke atas subjek yang perlu difikirkannya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kehidupan moden secara keseluruhan telah memberikan kesan yang mendalam ke atas gaya hidup manusia termasuk dalam menentukan prioriti ke atas subjek yang perlu difikirkannya.

Sebagai contoh, konsumerisme -yang merupakan salah satu daripada rukun penting di dalam konsep gaya hidup moden- dan jentera yang memacunya seperti pengiklanan, mesin serta robot yang mempercepatkan proses produksi, pusat membeli-belah mega, sistem kredit perbankan dan lain-lain telah menyebabkan manusia di alam pemikirannya tenggelam dalam persoalan seperti "Apa yang perlu dipakai, dimakan, diminum dan dibeli?".

Selepas satu transaksi selesai, minda manusia akan disibukkan semula dengan jentera-jentera itu tadi untuk kembali memikirkan tentang transaksi "yang perlu dibuat" pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, konsumerisme dan jentera-jentera yang memacunya telah menyebabkan sepktrum khusus mendapat keutamaan besar di dalam kehidupan berfikir manusia sekaligus mengurangkan keprihatinannya terhadap spektrum-spektrum pemikiran yang lain.

Salah satu daripada spektrum pemikiran yang kerap menjadi korban kepada perkara di atas ialah perenungan mendalam manusia ke atas 'titik permulaan wujud' atau Tuhan -yang dibahaskan bagi menjawab persoalan "Dari mana aku/kami datang?"-. Anehnya, di sebalik perkara di atas, sejarah dan khazanah ilmu manusia membuktikan bahawa konsep yang kini semakin kurang mendapat perhatian manusia moden tidak pernah meninggalkannya sendirian sejak dari zaman kewujudan manusia pertama di muka bumi ini, hinggalah ke hari ini.

Begitu juga jikalau perkara ini dilihat di dalam acuan kehidupan peribadi atau individu, tiada manusia yang boleh mengaku bahawa sepanjang hidupnya dia tidak pernah berhadapan dengan persoalan ini -tanpa mengambil kira apapun jawapan yang dirasakan benar olehnya-. Dalam erti kata lain, persoalan ini adalah natijah pasti daripada cetak biru yang menggagasi penciptaan bani Adam itu sendiri.

Secara ringkas, kehidupan moden boleh dikatakan telah menyebabkan perbahasan berkaitan “makrifatullah” kurang diberikan prioriti oleh manusia. Akan tetapi perkara itu tidak bermaksud bahawa manusia boleh hidup tanpanya. Tidak sama sekali! Setiap insan pasti memiliki jawapan terhadap perkara itu dan berasaskan jawapan tersebutlah dia akan menentukan hala tuju hidupnya kelak.

Permasalahan yang dikesalkan akibat daripada kehidupan moden itu tadi hanya terkait dengan isu prioriti yang diberikan manusia ke atas perbahasan tersebut. Ini kerana, jika usaha untuk menjawab persoalan tersebut tidak mendapat keutamaan manusia di dalam usaha berfikirnya, kemungkinan untuk mencapai kesimpulan yang salah di dalam perbahasan itu menjadi sangat tinggi. Memandangkan hakikat cuma satu -satu tetapi memiliki perspektif dan tahapan yang berbeza-, kegagalan mencarinya akan berkahir dengan lawan sendiri, iaitu khurafat.

Dalam erti kata lain, pemikiran khurafat akan mula merajai pandangan dunia manusia jika dia leka dan tidak memberikan perhatian yang secukupnya untuk membahaskan perkara ini dengan cermat. Pemikiran khurafat pula pada gilirannya akan menatijahkan pilihan hidup yang salah dan akan memberikan kesan yang buruk kepada individu tersebut dan masyarakat manusia secara keseluruhannya.

Memandangkan perbahasan ini sangat kritikal untuk ditanggapi dengan teliti oleh manusia, ahli kalam dan falsafah tanpa mengira apapun agama mereka telah berusaha keras untuk mengembalikan kedudukannya di dalam kehidupan berfikir manusia. Kedudukan yang telah dirampas oleh pemikiran moden itu tadi termasuk pemikiran yang terbit dari budaya konsumerisme.

Untuk mewujudkan objektif itu, mereka seringkali membahaskan perihal peri penting membahaskan persoalan Tuhan atau dalam istilah ahli falsafah, perbahasan yang menjawab soalan "Dari mana aku/kami datang?" itu tadi sebelum memulakan perbahasan akidah secara keseluruhan.

Sebelum pergi lebih lanjut, di sini, kami rasakan perlu untuk mengingatkan para pembaca budiman bahawa di dalam perbahasan selanjutnya kami akan menggunakan istilah makrifatullah ketika merujuk kepada konsep mengenal Tuhan, mengenal titik mula kewujudan serta jawapan kepada persoalan "Dari mana aku/kami datang?".

Keperluan Asasi Manusia Terhadap Makrifatullah

Sebagaimana yang telah kami isyarahkan sebelum ini, sebahagian daripada makrifatullah itu telah tertanam secara fitrah di dalam diri manusia dan perkara itu telah tertenun baik di dalam cetak birunya (dalam wujudnya). Makrifat fitri ini juga disifatkan sebagai pengetahuan yang sangat ringkas dan dangkal sekaligus tidak memungkin ia untuk bertindak sebagai pembekal tunggal dalam mewujudkan makrifatullah yang sempurna.

Bahkan, perkara itu hanya mampu bertindak sebagai batu asas kepada proses perkembangan makrifat insan terhadap tuhannya sendiri. Dari perspektif inilah, ahli kalam percaya bahawa seseorang yang tidak lalai daripada pengetahuan fitrahnya, melihat "perlu" bagi dirinya untuk mengorak langkah berikut di dalam suluk tersebut. Rasa "perlu" inilah yang merupakan salah satu daripada faktor-faktor penting yang memberi kewujudan serta pengukuhan kepada kecenderungan manusia untuk mencari makrifat yang lebih luas lagi mendalam berhubung Tuhannya.

Di sebalik semua perkara di atas, ahli ilmu kalam Islam turut membawakan beberapa dalil bagi menegaskan betapa perlunya seseorang itu merenungi perkara ini. Di sini, kami akan membawakan dua daripada dalil-dalil tersebut sebagai renungan buat para pembaca;

1) Menepis kerugian dan hukuman yang mungkin

Setiap insan yang tahu serba sedikit tentang kemunculan para anbiya' dan jemputan mereka terhadap penyembahan tuhan, penunaian tanggungjawab keagamaan dan dakwaan mereka tentang kewujudan alam selepas alam materi sekurang-kurangnya tidak mampu menolak kemungkinan benarnya perkara itu secara mutlak sekalipun dia juga tidak mampu beriman kepada ajaran-ajaran mereka secara mutlak.

Kemungkinan tersebut menjelma di dalam benak mereka dalam bentuk bahawa para anbiya' telah berlaku jujur di dalam dakwah mereka. Natijah daripada perkara itu, kemungkinan lain juga akan segera terbentuk di mindanya bahawa individu yang tidak mengamalkan tanggungjawab keagamaan yang telah diajarkan oleh para anbiya' tersebut akan berhadapan dengan hukuman dan kifar yang sesuai dan pada akhirnya dia akan menerima kerugian yang besar di dunia abadi.

Dari sudut lain pula, akal dan kebijakan manusia berkata bahawa setiap insan setakat yang mampu harus mengelakkan dirinya daripada sebarang bentuk kerugian dan hukuman yang ada sekalipun perkara itu datang dalam bentuk kemungkinan semata-mata.

Oleh kerana itu, kemungkinan bahawa dia akan berhadapan dengan hukuman yang berat kerana ketidakpatuhannya terhadap ajaran-ajaran agama sentiasa wujud dan tidak boleh ditolak secara mutlak. Dalam masa yang sama, memandangkan akal menganggap wajib bagi manusia untuk mengelakkan dirinya daripada kerugian yang terhasil akibat daripada hukuman berat itu tadi -sekalipun perkara itu datang dalam bentuk kemungkinan sahaja-, akal sendiri akan mengambil kesimpulan bahawa wajib bagi manusia untuk mengkaji perbahasan seputar topik kewujudan Tuhan, sifat-sifat dan perbuatannya-Nya.

Berasaskan rasional itu, akal beranggapan bahawa jika Tuhan benar-benar wujud dan ajaran-ajaran anbiya' itu benar, seseorang itu mampu menyelamatkan dirinya daripada hukuman Ilahi dengan mengikuti ajaran mereka.

2) Kewajiban Mensyukuri Sang Pemberi Nikmat

Tidak syak lagi bahawa insan di dalam kehidupannya sentiasa dihujani dengan nikmat pelbagai yang tidak datang dari dirinya sendiri. Akan tetapi, nikmat-nikmat itu telah sampai kepadanya dari wujud yang lain. Dari sudut yang lain, akal manusia -secara fitrah- mendiktekan kepada dirinya bahawa mensyukuri sang pemberi nikmat adalah sesuatu yang wajib. Memandangkan perkara itu akan hanya terhasil selepas mengenal sang pemberi nikmat itu sendiri, akal manusia sekali lagi menilai peri penting meletakkan dirinya di dalam perjalanan mengenal pemberi nikmat yang hakiki (iaitu Tuhan itu sendiri).

Kesimpulannya, setelah melihat betapa makrifatullah memainkan peranan penentu dalam kehidupan manusia dan bagaimana akal menghukum kewajiban mengelakkan kerugian dan hukuman yang mungkin serta kewajiban untuk mensyukuri sang pemberi nikmat, seseorang itu harus mengatakan bahawa tindakan berfikir berkenaan dengan “titik mula yang mulia” bukan sekadar tindakan yang berfaedah serta bertepatan, bahkan perkara itu merupakan sebuah amalan yang perlu serta wajib diberikan perhatian utama oleh bani Adam. -ABNA24

Siri1