Darah orang Sunni tidak halal pada kami. Jauh sekali tanggapan bahawa kami memusuhi dan mahu menggulingkan kerajaan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni).
Itulah antara mesej daripada penganut mazhab Syiah di Malaysia yang mahu dipanjangkan kepada pengikut Sunni.
Penganut Sunni semakin ditakut-takutkan dengan dakyah komuniti kecil Syiah di Malaysia adalah gerakan pengganas yang mahu berperang dengan penganut mazhab Islam terbesar negara itu.
Dakyah seperti darah Sunni adalah halal pada 10 Muharram (hari memperingati pembunuhan kejam terhadap cucu Nabi Muhammad, Imam Hussein) - hari penting bagi penganut Syiah dan bahawa mereka memusuhi Sunni adalah antara momokan yang sering digunakan untuk menjustifikasikan penindasan terhadap komuniti Syiah.
Komunti Syiah di Malaysia mengalami penindasan berterusan oleh penguasa agama negara ini walaupun ia merupakan mazhab kedua terbesar Islam dan mereka diperakui sebagai umat Islam oleh ulama besar dunia dan Pertubuhan Negera Islam (OIC).
Kempen anti-Syiah mencapai satu tahap yang lebih serius apabila Umno, parti terbesar umat Islam di Malaysia, mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil tindakan keras terhadap penganut Syiah.
Seorang penganut Syiah Malaysia yang mahu dikenali sebagai Aizam Mansor berkata, sebagai seorang daripada komuniti minoriti yang sangat kecil itu, beliau menganggap masyarakat Sunni sebagai pelindung kepada masyarakat Syiah di Malaysia yang berjumlah sekitar 250,000 orang.
"Saya dibesarkan di kalangan orang Sunni. Saya belajar Al-Quran dan agama pun daripada ustaz Sunni. Saya dahulu kerap ke masjid untuk mendengar kuliah.
"(Kempen anti-Syiah) ini memang menyedihkan saya kerana selama ini saya menganggap Sunni sebagai pelindung. Sekarang mereka sudah mahu jadi musuh," kata pemuda berumur lewat 20-an itu yang kini bekerja di dalam sektor perbankan.
Apa yang lebih tragis di dalam suasana ini adalah ketegangan mazhab yang berlaku sekarang adalah sesuatu fenomena yang sengaja diada-adakan dan boleh dielakkan.
Membesar sebagai bangsa Malaysia
Menurut
kajian Universiti Kebangsaan Malaysia komuniti Syiah mula bertapak di
Malaysia sejak kurun ke-14 menerusi pedagang Arab yang menyebarkan
fahaman mazhab itu di Asia Tenggara. Gambar daripada
siarajagat.wordpress.com.Menurut kajian seorang pakar
sosiologi, Dr Mohd Faizal Musa, komuniti Syiah di Malaysia sudah berada
di negara kita sejak Islam mula bertapak di Semanjung Malaysia kira-kira
enam abad dahulu. Di antara pedagang Arab yang menyebarkan Islam di
Semenanjung Malaysia dipercayai sebahagian daripadanya adalah penganut
Syiah daripada keturunan Imam Hussein.
Aizam dan tiga kenalannya yang juga merupakan pengikut Syiah memberitahu The Malaysian Insider, mereka mewarisi ajaran itu daripada ibu bapa mereka yang juga mewarisinya daripada nenek moyang yang sudah menduduki negara sebelum merdeka lagi.
Aizam dan ketiga-tiganya menceritakan bagaimana mereka membesar pada zaman kanak-kanak yang penuh riang dengan bercampur dan bermain dengan rakan Sunni tanpa sebarang masalah.
(Nama ke empat-empat pengikut Syiah ini ditukar bagi melindungi identiti mereka).
Mohd Ali Abdullah dan adiknya Mohd Hussain, berkata rakan di sekolah langsung tidak mempedulikan kelainan dalam doa mereka atau amalan ketika berbuka puasa.
Mereka yang sekarang berada di dalam lingkungan umur 20-an tidak berpakaian berjubah, berserban, membela janggut yang panjang atau mengamalkan ciri penampilan yang membuatkan mereka kelihatan lain daripada pemuda lain.
Ibu bapa kepada adik-beradik ini juga tidak menghalang mereka daripada bergaul dengan anak keluarga Sunni yang lain. Mereka membesar dengan bermain bola dan menonton wayang bersama rakan sekolah dan jiran mereka.
Manakala bagi Aizam, beliau amat menghargai ustaz Sunni di masjid berdekatan rumahnya yang mengajar beliau tentang Al-Quran dan hal agama.
"Alam remaja saya memang sihat dan riang. Saya tidak ada masalah dengan sesiapa pun," kata Aizam.
"Kita membesar seperti budak lain. Kita bukan masuk "cult" (pergerakan sulit)," kata Mohd Ali bagi menangkis persepsi salah bahawa fahaman Syiah adalah sebuah pergerakan militan yang sulit dan merbahaya.
Tetapi ketegangan mula berlaku apabila mereka memasuki tingkatan empat di sekolah menengah kebangsaan masing-masing.
Menyemai perpecahan
Mohd Ali pernah berdebat dengan ustazah beliau di dalam kelas agama tingkatan empat ketika guru itu cuba mengajar pelajar bahawa Syiah itu ajaran sesat.
"Saya tanya dia apa sumber yang dipakai untuk pelajaran itu? Dia betul-betul teliti sumber yang kurikulum itu pakai? Dia kata macam-macam. Kononnya Al-Quran yang kita pakai lain, kita kononnya solat ikut kiblat lain.
Imam
ke-3 mazhab Syiah, Hussain ibn Ali adalah anak Ali Abu Talib, cucu Nabi
Muhammad, melalui perkahwinan Ali dengan anak perempuan Muhammad,
Fatimah. Kematian Hussain pada 10 Muharam adalah tarikh penting dan
menjadi hari besar, Ashura, bagi mazhab itu. Gambar daripada
abuhusna2010.blogspot.com."Jadi saya debat dengan dia. Akhirnya dia kata dia tidak tahu, dia cuma ikut apa yang buku teks tulis,” katanya.
Menurut Mohd Faizal daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, selalunya permusuhan terhadap Syiah disebarkan oleh pengikut Sunni yang berpegang pada aliran pemikiran Wahabi.
Profesor Karim Crow daripada Institut Pengajian Lanjutan Islam Antarabangsa menulis bahawa pemikiran Wahabi yang dimulakan sekitar tahun 1800 di negara Arab Saudi, terkenal dengan permusuhannya terhadap Syiah.
Di dalam kertas kajiannya yang bertajuk "Malaysian Shia’s Lonely Struggle” (perjuangan sepi Syiah Malaysia) Mohd Faizal berkata, majoriti pakar Islam, ustaz, ustazah dan imam yang mempengaruhi fahaman agama dan dasar di Malaysia, merupakan garaduan daripada kolej di Jordan dan Arab Saudi yang mempunyai aliran Wahabi yang kuat.
Mereka ini yang dikatakan membakar semangat anti-Syiah di Malaysia yang memperlihatkan ramai pengikut mazhab itu dan pemimpin mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana menyebar dan mengikuti "ajaran sesat".
Pada 2010, sebuah pusat komuniti Syiah di Gombak diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika perayaan Ashura pada 10 Muharam. Kira-kira 200 pengikut Syiah termasuk kanak-kanak ditahan. Mohd Hussain dan Ahmad Salman antara mereka yang ditahan.
"Mereka ambil butiran kad pengenalan, kemudian pegawai kata kita kena hadir ke mahkamah untuk perbicaraan. Tapi selepas itu tidak ada orang panggil kita. Tapi penganjur kena dakwa," kata Ahmad Salman yang berumur 30-an.
Acara keramaian masih dianjurkan oleh komuniti itu tetapi secara sulit bagi mengelakkan mereka ditangkap. Ada di antara mereka yang masih solat berjemaah dengan pengikut Sunni di masjid dan surau. Tetapi semangat “satu ummah” bersama Sunni yang dipupuk daripada kecil dahulu semakin pudar.
"Saya dulu kerap ke masjid untuk mendengar kuliah. Tetapi kerana imam yang anti-Syiah saya pun sudah meluat. Kerana segelintir imam ini saya mula takut dengan ahli Sunni,” kata Aizam.
Keuntungan daripada ketakutan
Pengalaman empat pemuda ini membawa kepada rumusan bahawa fenomena anti-Syiah yang semakin membarah adalah satu fenomena baru. Mereka tidak merasai ketegangan semasa zaman remaja dan kanak-kanak sehingga mereka memulai tingkatan empat.
Pada
2007, Malaysia menandatangani deklarasi Islamabad, dikeluarkan OIC yang
mengiktiraf Syiah adalah orang Islam dan harus diberikan hak dan
perlindungan saksama dengan ahli Sunni. Gambar daripada
missobesi.blogspot.com.Pakar sosiologi Mohd Faizal dan
penulis yang menjalani zaman persekolahan pada 1980-an juga tidak pernah
mendengar guru agama mengajar untuk membenci Syiah.
Aktivis agama minoriti, Hussain Muhammad, berkata ini menunjukkan bahawa tindakan ke atas Syiah bermotifkan politik.
Pada 2007, kerajaan Malaysia menandatangani deklarasi Islamabad yang dikeluarkan OIC bertujuan memperkuatkan perpaduan ummah.
Deklarasi itu mengiktiraf bahawa Syiah adalah orang Islam dan mereka harus diberikan hak dan perlindungan yang saksama dengan penganut Sunni.
"Malaysia juga ada hubungan diplomatik dengan Iran, sebuah negara yang dikuasai oleh ulama besar Syiah.
"Kalau kerajaan Malaysia berkata Syiah itu ajaran sesat dan satu ancaman masyarakat, kenapa tidak saja putus hubungan dengan Iran," kata Hussain, presiden gerakan As Sajjad.
Percanggahan ini hampir sama dengan keputusan penguasa agama Malaysia untuk tidak membenarkan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam - sebuah pendirian yang dikritik hebat oleh ulama besar dunia yang mengatakan Islam tidak pernah menetapkan kalimah Allah adalah eksklusif bagi orang Islam.
Ketika dunia Islam menyeru kerajaan untuk mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap komuniti minoriti bukan Islam, penguasa agama dan pemerintah Malaysia mengambil pendekatan yang sebaliknya dengan menekan dan menindas mereka.
“Ia seolah-olah kerajaan mahu menanam rasa benci dan ketakutan di kalangan rakyat padahal mereka sepatutnya memupuk persefahaman dan keharmonian di antara komuniti," kata Hussain.
Ini kerana ketegangan dan kepincangan sama ada antara mazhab atau komuniti yang berlainan hanya menguntungkan puak pelampau yang akhirnya memudaratkan masyarakat.
"Rasulullah sendiri amat menjaga keharmonian dan hak orang bukan Islam. Beliau menyeru kepada keamanan dan persefahaman.
"Cara Rasulullah amat berjaya dan itulah cara yang Islam yang sebenar. Mengapa Malaysia tidak mahu mencotohi sikap Rasulullah," kata Hussain - 14 Februari, 2014.