18 Oktober 2010 - 20:30

Menurut agensi berita BERNAMA, Mahkamah Persekutuan kelmarin menolak rayuan writ habeas corpus seorang Malaysia dan tujuh warga asing, yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dengan keganasan antarabangsa.

Rakyat Malaysia berkenaan ialah Azzahari Murad, manakala warga asing terbabit ialah Luqman Abdul-Salam, Uthman Abdul-Alhi Bolajoko, Aiman Yosof Aldakkak, Mohamed Hozifa Aiman Al Dakak, Kutiba Ahmad Al Issa, Khalid Saleem Mohammed dan Hasan Mohamed Murei Korban Baroudi dari Timur Tengah dan Afrika.

Meraka telah ditahan di bawah akta ISA pada 21 Januari lalu kerana disyaki mengambil penduduk tempatan untuk menganggotai al-Qaeda dengan taktik menganjurkan kelas agama secara rahsia yang menegaskan jihad menggunakan senjata api terhadap kepentingan bukan Islam, dianggap mengancam dan membahayakan keselamatan nasional.

Bagaimanapun, setelah siasatan selesai dijalankan pada 10 Mac, tujuh warga asing berkenaan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara masing-masing, manakala Azzahari dikenakan perintah kediaman terhad selama dua tahun di daerah Petaling Jaya melalui satu Perintah oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 8(5) ISA.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, yang mengetuai panel tiga hakim, membuat keputusan bahawa mahkamah berkenaan tidak dapat mendengar rayuan itu kerana keputusan mahkamah tertinggi telah menyebut dengan agak jelas bahawa habeas corpus hanya boleh diberi kepada seseorang yang sedang ditahan dengan secara fizikal dengan cara yang tidak sah dan dia mestilah sedang berada dalam tahanan.

Aiman Yusuf al-Dakkak yang telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)