16 November 2010 - 20:30

Kritikan Hujjatul Islam Hamid Reza Gharib Reza terhadap laporan berita dari Mesir dan perbezaan antara ulama al-Azhar dan Universiti al-Azhar.

Mungkin berita ini sangat mengejutkan, benarkah Syaikh al-Azhar berkata demikian? Seorang ilmuan berpendidikan tinggi yang mewajibkan perpaduan umat Islam seperti Dr Ahmad Tayyib sangat jauh dari cerita ini. Dalam beberapa wawancara Syaikh al-Azhar beberapa kali telah menyatakan pendirian rasminya mempertahankan Syiah yang diserang Wahabi. Antaranya beliau mengatakan, beliau sendiri membaca buku-buku karya as-Syahid Sadr yang menampilkan posisi bijak dalam memperkenalkan teorinya tentang perpaduan dan ini telah memberi kesan dan harapan untuk beliau (Syaikh al-Azhar) menghidupkan plan wahdah anjuran al-Azhar. Dengan itu berita beberapa hari lalu yang terlalu cepat beredar dalam media massa Arab dan Parsi sangat mengejutkan. Berita ini menyatakan jikalau Iran tidak memusnahkan pusara Abu Lu'lu' maka mereka tidak mahu hadir berdialog dengan Iran!

Barisan Ulama al-Azhar tidak mewakili al-Azhar!

Sungguh menghairankan, kekurangan usul periksa penyampaian media telah menyebabkan terma dan nama yang hampir serupa sebuah kumpulan ekstremis ditampil sebagai mewakili Universiti dan Syaikh al-Azhar.

Setelah rancangan Taqrib Syaikh al-Azhar mengambil tempatnya selaras dengan ruang lingkup mazhab dan pengwartaan fatwa haram menghina isteri Rasulullah oleh Ayatullah Khamenei, pemecah belah umat kelihatan cuba menyelewengkan fakta dan menyebarkan kabar angin yang mengeruhkan kejernihan Wahdah Islamiyah dengan mencipta situasi tidak meyakinkan keupayaan Taqrib. Sebahagian media didapati telah menyiarkan berita tersebut tanpa usul periksa.

Propaganda ucapan pemimpin barisan ulama al-Azhar sebagai ganti Syaikh al-Azhar

Menurut cerita tersebut, kononnya pemimpin Barisan Ulama al-Azhar Dr Muhammad al-Birri dengan lantang meletakkan syarat tidak akan berdialog dengan Iran selagi pusara Abu Lu'lu' tidak dimusnahkan. Mereka terlalu berangan-angan bahawa personaliti yang ditampilkan itu adalah wakil rasmi universiti al-Azhar, kerana itulah mereka memperkenalkannya sebagai Syaikh al-Azhar dalam siaran media. Hakikatnya antara pentadbiran al-Azhar ( مشیخة‌الازهر) dan Barisan Ulama al-Azhar mempunyai ikhtilaf pandangan bahkan berlaku tindakan dan perilaku yang ekstrem.

Latar belakang Barisan Ulama al-Azhar dan tanggapan negatifnya terhadap Iran

Jikalau kita imbas kembali rekod pembentukan Barisan Ulama al-Azhar sebagai organisasi bukan kerajaan beberapa tahun lalu, nescaya kita akan dapati ia telah dianggap sebagai kumpulan yang membangkang pentadbiran al-Azhar kerana mengemukakan penentangan terhadap fatwa-fatwa dan metodologi Dr Tantawi.

Meskipun begitu, ketajaman pemikiran Syaikh al-Azhar yang baru ini telah merawat hubungan dingin antara kumpulan ini dengan pihak pentadbiran. Namun perselisihan serius dalam mengutarakan pendapat masih wujud sampai hari ini. Sebagai contoh kita boleh membandingkan pendirian mereka terhadap penghargaan Syaikh al-Azhar atas fatwa Ayatullah Ali Khemenei.

Hakikatnya kumpulan ini mempunyai kecenderungan terhadap fahaman Wahabi dan sudut politik ia didapati menentang pendirian Republik Islam Iran. Disamping itu secara sedar atau tidak mereka kelihatan cuba mewujudkan ketakutan orang ramai terhadap Iran.

Pendirian pemecah belah

Tidak seperti usaha yang digiatkan Syaikh al-Azhar dalam memupuk perpaduan, kerjasama, dialog antara agama dan berbagai mazhab, kumpulan tersebut sebaliknya menyenaraikan perkara-perkara yang merosakkan hubungan baik antara Kristian, Syiah dan tokoh agama di Mesir.

Berita di arena antarabangsa

Ringkasnya, media-media di arena antarabangsa hendaklah meluaskan pandangan dan lebih teliti ketika bekerja. Hendaklah mereka memikirkan kesan penyampaian berita jangan sampai api fitnah dinyalakan antara dua mazhab besar ini.