بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 

وَأَذَانٌ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ أَنَّ اللَّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ فَإِنْ تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَإِنْ تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَبَشِّرِ الَّذِينَ كَفَرُوا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

"Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya."

Pada hari Jumaat 6 Zulhijjah 1407 bersamaan 31 Julai 1987, pihak berkuasa Arab Saudi dengan kejamnya menyerang ribuan jemaah haji Iran yang disertai penziarah dari beberapa negara Islam. Padahal kesalahan penunai ibadah haji dari Iran ini hanyalah melaung-laungkan slogan anti Amerika dan Israel demi menyahut seruan al-Qur'an yang mewajibkan umat Islam bersatu dan berlepas diri dari kaum musrikin dalam falsafah haji. Akibat serangan ganas ini, seramai 400 umat Islam dari Iran telah dibunuh tanpa belas kasihan manakala lebih seribu orang cedera.

Serangan terhadap penziarah rumah Allah ini menunjukkan para pemimpin ajaran sesat Wahabi bukan sahaja tidak layak berbakti kepada Haramian al-Syarif, bahkan tidak ada bukti bahawa mereka ini taat pada hukum hakam Ilahi. Malah hukum syariat yang ada diinjak-injak pula. 

Laungan berlepas diri dari kaum musyrikin dalam ibadah haji (Bara'ah) sebenarnya memberikan pengaruh yang lebih besar kepada jemaahnya. Menyedari betapa pentingnya Bara'ah, Imam Khomeini dan Ayatullah Sayid Ali Khamenei menggalakkan acara ini dilangsungkan. Hari ke-enam Zulhijjah tahun 1407, para jemaah haji Iran mula mengadakan perarakan besar yang turut disertai oleh tetamu rumah Allah dari negara lain. Sambil menyatakan kebencian terhadap Amerika dan Israel, mereka turut menyeru umat Islam bersatu menentang musuh besar ummat ini. 

Pesanan bersejarah Imam Khomeini yang diperdengarkan kepada jemaah haji disambut dengan laungan slogan "Allahuakbar", "Lailaha illallah" dan "mampus Amerika". Peserta Baraah kemudiannya berarak ke Haram untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah. Tiba-tiba pasukan polis Saudi muncul dan mula menyerang. Jemaah haji yang tidak berdosa dipukul dengan cota. Pasukan polis yang ditempatkan di atas tangga bangunan melemparkan mereka dengan batu, bata, besi, kaca dan simen. Tidak cukup dengan itu, polis turut melepaskan gas beracun dan tembakan rambang untuk membunuh. Darah mula tumpah di sana sini, hijab kaum hawa terlucut, ramai yang gugur syahid akibat terkena tembakan dan terhidu gas beracun. Penjenayah Wahabi turut mencegah ambulans dari membawa mereka yang cedera ke hospital. Peristiwa Jumaat berdarah mula dicatat dalam sejarah yang menyakitkan umat Islam termasuk para penuntut keadilan di seluruh dunia.



Imam Khomeini berkata, "Walau pun kita amat berdukacita atas peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang belum pernah terjadi di kalangan umat Nabi Muhammad (s.a.w), pengikut nabi Ibrahim al-Hanif dan pengamal al-Qur'an, namun kami bersyukur kepada Allah Yang Maha Besar kerana meletakkan musuh kita dan penentang politik Islam di kalangan mereka yang kurang berakal dan tidak cerdik. Ini disebabkan mereka sendiri tidak sedar, bahawa gerakan membuta tuli mereka menjadi faktor kekuatan, penyebaran revolusi dan memperkenalkan bangsa kami yang tertindas. Setiap tahap mendorong peningkatan kualiti ajaran dan negara kita.