
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co ) - Syeikh Farid al-Baji mengecam tindakan pihak tertentu yang berusaha mengirim wanita Tunisia kepada militan yang berperang di Syria. Beliau merayu rakyat di negara tersebut tidak menghiraukan fatwa aneh yang dipanggil "Jihad Nikah".
Al-Baji mengeluarkan kenyataan berhubung dengan perkara tersebut setelah terdapat laporan media tentang kepulangan puluhan wanita Tunisia dari Syria yang memberikan perkhidmatan seks kepada militan Syria di mana sebahagian daripada mereka sudah mengidap penyakit AIDS.
Menteri Dalam Negeri Tunisia Lutfi bin Jiddou memaklumkan pada minggu lalu bahawa beberapa wanita Tunisia telah pulang dari Syria dalam keadaan hamil. Sambil meminta pemberhentian segera kempen pengiriman wanita kepada militan Syria, beliau turut mengkritik pihak yang berdiam diri terhadap skandal "Jihad Nikah" tersebut.
Pada 19 April 2013, Syeikh Uthman Bittikh yang menjadi mufti Republik Tunisia ketika itu memaklumkan 16 orang gadis telah terpedaya dan pergi ke Syria untuk mengerjakan "Jihad Nikah".
Bittikh yang baru bersara dari jawatannya mengistiharkan bahawa "Jihad Nikah" adalah perzinaan dan kerosakan akhlak. Beliau turut mengajak wanita Tunisia agar menjaga kehormatan dan berusaha menambah ilmu pengetahuan masing-masing.