20 Jun 2014 - 19:09
Kenapa ISIS lancar promosi dirinya di internet?

Kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Sham (ISIS) telah melakar pelan strategik secara kompleks bagi mempromosikan diri mereka di media sosial sempena operasi keganasan mereka di Iraq.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - BBC pada hari Khamis melaporkan beberapa akuan Twitter yang mengaku sebagai wakil pengganas Negara Islam Iraq dan Sham (ISIS) aktif menyiarkan perkembangan terkini kegiatan pengganas bersama dengan gambar-gambar kegiatannya.

Penganas ISIS juga didapati melancarkan kempen melalui media sosial yang lain dan mewujudkan kumpulan tertutup dalam Twitter dengan memuatkan data dan imej mengenai serangan yang didakwa terjadi di Baghdad.

Pada minggu lalu, 15 gambar pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pengganas ISIS tersebar dengan cepat dan meluas di dalam internet. Dalam pada masa yang sama ramai pemilik akaun Twitter yang terdiri dari penyokong ISIS dari Arab Saudi, Kuwait dan beberapa negara Teluk rancak memberikan komen masing-masing.

Isu berikutnya, kumpulan pengganas telah mengeluarkan sepotong video promosi bertemakan "Promosi Billion" yang memberi penekanan agar para pelampau menyebarkan pesanan, gambar dan klip video di Twitter, Instagram dan Youtube dalam rangka memberikan sokongan terhadap ISIS.

Ini menunjukkan kumpulan pengganas ISIS sebenarnya sudah mempunyai perancangan rapi untuk menyebarkan propaganda supaya mempunyai pengaruh yang kuat di samping mewujudkan ketakutan di kalangan musuh-musuhnya serta menghasilkan kekaguman pada kumpulan pengganas yang lain. Tujuannya hanyalah ingin mencari populariti bahawa mereka adalah kumpulan pilihan utama rakyat.

Dalam percubaan melemahkan pengaruh kumpulan pengganas ISIS di laman sosial dan menggagalkan percubaan menyebarkan ancaman, kerajaan Iraq bertindak menyekat laman Facebook, Twitter dan lain-lain lagi sehingga mencetuskan protes di kalangan ahli-ahli politik yang menyokong ISIS.