29 April 2017 - 17:51
Hindraf Mahu PBB Gesa Malaysia Batal PR Zakir Naik

Hindraf menggesa Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan (CTC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menasihati Malaysia agar membatalkan status Pemastautin Tetap (PR) diberikan kepada Dr Zakir Naik ekoran pelbagai laporan mengaitkan pendakwah kontroversi dari India itu dengan aktiviti keganasan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Hindraf menggesa Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan (CTC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menasihati Malaysia agar membatalkan status Pemastautin Tetap (PR) diberikan kepada Dr Zakir Naik ekoran pelbagai laporan mengaitkan pendakwah kontroversi dari India itu dengan aktiviti keganasan.

Pengerusinya, P Waythamoorthy menulis surat kepada Pengerusi CTC, Amr Abdellatif Aboulatta yang berpejabat di New York semalam.

“Kami menulis kepada anda dengan harapan anda boleh menangani isu ini dengan membawa kepada perhatian perwakilan Malaysia dalam CTC mengenai kebimbangan akan bahaya (kehadiran Zakir) kepada publik di Malaysia dan kemudaratan jangka panjang secara langsung dan tidak langsung di peringkat domestik dan juga antarabangsa,” kata beliau dalam surat itu, yang salinannya diedarkan kepada media hari ini.

Kata beliau, pihaknya tidak mahu Malaysia digunakan untuk aktiviti pengganas atau sebagai pusat latihan ataupun lokasi persediaan untuk sebarang perbuatan keganasan sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, kata beliau, Hindraf, yang sebelum ini bersama beberapa pihak memfailkan kes mahkamah berkaitan kehadiran Zahir di Malaysia, berharap CTC akan memberi nasihat kepada Malaysia menggugurkan status PR yang diberikan kepada Zakir.

Kata Waythamoorthy, Malaysia yang dipercayai salah satu anggota CTC, harus dimaklumkan mengenai bahaya yang dipercayai boleh ditimbulkan Zakir.

Beliau berkata, tindakan itu amat diperlukan memandangkan Zakir enggan pulang ke India bagi menghadapi siasatan dan juga tuduhan di negara itu.

Menurut Hindraf, status PR Zakir di Malaysia telah mencetuskan kemarahan orang bukan Islam dan juga sebahagian orang Islam, yang tersinggung dengan ceramah beliau.

Kehadiran Zakir di negara juga mencetuskan polemik dan kontroversi termasuk pada minggu lalu apabila Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menulis satu puisi menerusi laman Facebook, antara lain didakwa telah menyinggung penganut agama Hindu.

Beliau kemudiannya memohon maaf kepada komuniti Hindu yang “tersalah faham” maksud “puisi pagi Jumaat” yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan orang bukan Islam.

Pada 18 April lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Zakir diberikan status PR di Malaysia. Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata, ia diberikan kira-kira 5 tahun lalu.

Sebelum itu, kerajaan menafikan Zakir telah diberikan taraf kerakyatan Malaysia, bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada beliau diberikan status penduduk tetap.

Zakir, penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 2013, kini berdepan siasatan pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan mempromosikan propaganda pengganas.

Zahid juga ada mengatakan yang kerajaan sedia bekerjasama dengan India dalam siasatan terhadap Zakir menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

Agensi Siasatan Negara India (NIA) memohon Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Zakir bagi menghalang beliau keluar dari Arab Saudi, selepas berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya. Notis kedua dikeluarkan lebih seminggu yang lalu.

Zakir yang mengasaskan badan dakwah Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) kerap berkunjung ke Malaysia dan Indonesia dari Arab Saudi.

Dua minggu lalu, Zakir dalam satu program dianjurkan kumpulan Perkasa mendakwa beliau akan diseksa jika pulang ke India, sebaliknya berkata pihak berkuasa negara itu perlu menyoal siasat beliau menerusi Skype dan kaedah telesidang.

Oleh: FMT Reporters