4 Jun 2017 - 07:36
Serangan Maute Di Marawi

PADA 23 Mei lalu, kerajaan Filipina melancarkan operasi ketenteraan dan undang-undang tentera di bandar Marawi, wilayah Lanao del Sur dengan bertujuan memberkas ketua kumpulan militan Abu Sayyaf, selepas mendapat laporan dia merancang untuk bertemu militan lain.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - PADA 23 Mei lalu, kerajaan Filipina melancarkan operasi ketenteraan dan undang-undang tentera di bandar Marawi, wilayah Lanao del Sur dengan bertujuan memberkas ketua kumpulan militan Abu Sayyaf, selepas mendapat laporan dia merancang untuk bertemu militan lain.

Operasi tersebut bagaimanapun bertukar menjadi pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan militan yang menduduki beberapa kemudahan seperti hospital, penjara dan sekolah.

Serangan demi serangan menyebabkan Presiden Rodrigo Duterte meletakkan seluruh pulau Mindanao dalam undang-undang tentera sehingga tempoh maksimum 60 hari dengan kemungkinan ia akan diperluas sehingga ke seluruh negara.

Dengan pertempuran yang telah berlangsung selama dua minggu, ribuan penduduk yang terjejas terpaksa melarikan diri dan mencari perlindungan ke bandar serta wilayah berhampiran termasuk Iligan, Lanao del Norte dan Cagayan de Oro.

Kehilangan nyawa dan penduduk yang dipindahkan terus meningkat berikutan pertempuran terus berlaku.

Sehingga semalam, 175 kematian dicatatkan terdiri daripada 120 militan, 36 anggota tentera dan 19 orang awam.

Bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk, kerajaan menggesa Maute untuk menyerah demi menyelamatkan lebih banyak nyawa orang awam dan infrastruktur di Marawi.

Pengasas Maute bekas anggota MILF

Kumpulan Maute adalah kumpulan radikal terdiri daripada bekas gerila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan beberapa pejuang asing.

Ia mengisytiharkan setia kepada Daesh pada April 2015 bersama organisasi pengganas Ansar Al-Khalifah Filipina yang juga berikrar untuk menyokong antara satu sama lain.

Dalam satu laporan disiarkan pada Oktober tahun lalu, kumpulan Maute dikatakan mempunyai anggota paling bijak dan berpendidikan daripada semua kumpulan pro-Daesh di Manila.

Maute mempunyai hubungan yang kuat dengan MILF di mana kedua-dua pengasas kumpulan terbabit adalah bekas anggota MILF.

Mula muncul buat pertama kali di bandar Butig, Lanao del Sur, lebih dua tahun lalu, tahun sama kumpulan militan Daesh mula menjadi perhatian dunia.

Diasaskan pasangan adik-beradik Omar dan Abdullah Maute, kumpulan ini pada asalnya dinamakan Dawlah Islamiya. Namun, ia akhirnya lebih dikenali sebagai kumpulan militan Maute.

Omar dan Abdullah merupakan keturunan puak pahlawan Maranaw di Butig, sebuah bandar pedalaman di daerah Lanao del Sur.

Kedua-dua pengasas kumpulan Maute adalah bekas pekerja kontrak di Timur tengah, dan pernah belajar di sekolah sekular di Syria dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mereka berdua mendukung kebencian kepada orang bukan Islam dan terkenal dengan kecenderungan dalam menguatkuasakan sistem keadilan ala Taliban.

Maute mula menjadi terkenal selepas anggotanya memenggal kepala tahanan Salvador Janobas dan adiknya, Jaymart, pada April tahun lalu, kerana mengesyaki mereka adalah pengintip tentera.

Kumpulan ini dikatakan aktif merekrut budak bawah umur sebagai pejuang kanak-kanak dan menggunakan Undang-undang Bangsamoro sebagai propaganda.

Pegawai tempatan dan ulama tidak bersetuju dengan jenis Islam disampaikan kumpulan Maute dan menganggapnya sebagai konsep yang menyimpang daripada keadilan syariah.

Ulama menegaskan tidak ada walau satu ayat dalam al-Quran menggalakkan penindasan terhadap orang bukan Islam.

Garis masa krisis

23 Mei

Pertempuran antara tentera dengan kumpulan militan tercetus kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan) di kawasan Basak Malutlut. Kumpulan Maute menduduki Hospital Amai Pak dan mengarahkan kakitangan kesihatan keluar daripada kemudahan itu. Militan kemudiannya menggantikan bendera Filipina di hospital dengan bendera Daesh.

Briged 103 Tentera Filipina berpangkalan di Kem Ranao diserang oleh sekurang-kurangnya 500 anggota Maute. Beberapa lagi militan dilihat mengibarkan bendera Daesh di sekitar Marawi.

Seluruh bandar diletakkan dalam perintah berkurung berikutan tindakan Maute membakar beberapa bangunan dan rumah. Talian komunikasi dan kuasa diputuskan. Jalan menuju ke Marawi juga disekat oleh pasukan keselamatan dan militan Maute.

Orang awam dan paderi diculik bagi menuntut kerajaan menghentikan serangan terhadap mereka.

Pertempuran mencetuskan pemindahan besar-besaran hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya ke Iligan dan Cagayan de Oro. Sekurang-kurangnya 11 orang awam maut dalam pertempuran terbabit.

24 Mei

Tentera kerajaan tambahan tiba di Lapangan Terbang Laguindingan selepas pasukan keselamatan berjaya menguasai Hospital Amai Pak. Seramai 120 orang awam yang digunakan Maute sebagai perisai manusia berjaya diselamatkan. Tentera turut berjaya menawan semula bangunan kerajaan dan Universiti Mindanao.

25 Mei

Pertempuran baharu tercetus berhampiran wilayah Lanao del Sur di bandar Marawi. Militan Abu Sayyaf dan Maute yang berpakaian hitam dilihat di sekitar jalan raya dan jambatan utama bandar tersebut. Angkatan Tentera Filipina (AFP) berkata hampir 50 militan termasuk Isnilon Hapilon masih berada di Marawi. Tentera udara melancarkan serangan udara menentang saki baki kumpulan.

27 Mei

Pelarian dari Marawi mencari perlindungan di Iligan. Jurucakap Bahagian Infantri 1, Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera berkata, tentera telah mengenal pasti kedudukan militan dan melacarkan serangan udara untuk menghapuskan mereka. Trak tentera tambahan turut dihantar ke Marawi. 90 peratus daripada 200,000 penduduk Marawi berjaya dipindahkan ke kawasan selamat.

28 Mei

Sekurang-kurangnya 19 orang awam terbunuh dan 2,000 yang lain terperangkap di kawasan dikuasai militan.

29 Mei

Angka kematian di Marawi mencecah 100 orang. Tentera berjaya menguasai sebahagian besar Marawi. Pasukan keselamatan memaklumkan militan MILF dari wilayah jiran Maguindanao telah menyertai Maute dan Abu Sayyaf di Marawi dan Hapilon masih berada di bandar berkenaan.

30 Mei

Dalam satu video dikeluarkan Maute, paderi Teresito Suganob yang diculik merayu kerajaan menghentikan serangan terhadap militan dan menarik balik semua tentera dari Marawi dan Lanai del Sur.

31 Mei

Pasukan keselamatan berjaya menguasai semula 90 peratus Marawi termasuk dua jambatan utama, Mapandi dan Bayabao. Lapan militan menyerah diri dan memberi maklumat perisikan yang sangat berharga.

1 Jun

Tentera menyemak semula anggaran militan yang terlibat dalam serangan Marawi daripada 100 ke 500 orang, terdiri daripada 260 militan Maute, 100 Abu Sayyaf dan selebihnya dari organisasi militan tempatan.

2 Jun

Militan masih kekal berkurung dalam bangunan komersial di pusat bandar dan tentera percaya Hapilon masih berada di Marawi.

Oleh: NORHANA FARIZA HARUN