Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin gerakan Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah berkata bahawa anggota kumpulan pengganas Takfiri Daesh yang berada di kawasan sempadan Syria-Lubnan kini berada di dalam kepungan.
Setiausaha Agung Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah membuat kenyataan tersebut pada hari Khamis ketika berucap di hadapan penyokong gerakan tersebut melalui kaca televisyen.
Nasrallah juga menyentuh tentang operasi anti-keganasan tentera Lubnan ke atas anggota militan Takfiri di perkampungan Ras Baalbek dan pekan al-Qaa yang terletak di wilayah Bekaa. Wilayah itu sendiri terletak di kawasan utara sempadan Syria-Lubnan.
Pada permulaan ucapannya, beliau berkata bahawa objektif utama operasi anti-Daesh tersebut adalah untuk memastikan keselamatan di kawasan sempadan Syria-Lubnan dan dalam masa yang sama untuk memastikan nasib para tahanan yang sebelum ini ditahan oleh kumpulan Takfiri itu.
Beliau menambah dengan mengatakan bahawa objektif lain operasi tersebut adalah untuk merampas kawalan ke atas kawasan barat sempadan Lubnan dan menghalau keluar kumpulan pengganas dari negara tersebut.
Pemimpin Hizbullah itu turut mengatakan bahawa para pengganas Takfiri Daesh kini terkepung di dalam kawasan seluas 60 km persegi. Sekitar 20 km persegi daripada kawasan itu berada di dalam wilayah Lubnan dan 40 km persegi yang lain pula terletak di dalam sempadan Syria.
Nasrallah juga mengatakan bahawa sekitar 100 km persegi bumi Lubnan yang pernah dikuasai kumpulan Takfiri Daesh telah berjaya dibebaskan setakat ini.
Nasrallah turut memberitahu para hadirin bahawa Daesh kini turut menggunakan orang awam sebagai perisai mereka sepertimana yang pernah mereka lakukan di bandar utara Iraq, Mosul. Beliau turut mengatakan bahawa para pengganas juga berusaha untuk menggunakan saluran rundingan sebagai instrumen untuk mengeluarkan mereka daripada mala petaka yang sedang menghampiri mereka.
Pada awal hari Khamis, seorang sumber pro-Damsyik yang tidak mahu dinamakan memberitahu pemberita bahawa para militan Daesh telah meminta tentera Syria dan pejuang Hizbullah untuk membenarkan mereka mengundurkan diri dari kawasan sempadan Syria-Lubnan dan menuju ke Deir ez-Zour.
Di dalam ucapan itu, Nasrallah turut mengatakan bahawa barisan kepimpinan kumpulan pengganas Takfiri Daesh tidak sedikitpun peduli tentang situasi genting yang melanda anggotanya di kawasan tersebut. Mereka menurut Nasrallah, bahkan tidak akan membenarkan anggota kumpulan tersebut untuk meninggalkan kawasan sempadan Syria-Lubnan dengan aman.
Beliau turut mengatakan bahawa Hizbullah telahpun memulakan rundingan dengan para militan Daesh di barat Qalamoun dalam rangka mencapai objektif operasi anti-keganasnnya. Akan tetapi, beliau turut menegaskan bahawa sebarang bentuk perjanjian yang dipersetujui di antara kerajaan Lubnan dengan pengganas Daesh perlulah dilaksanakan secara terkoordinasi dengan kerajaan Syria.
Beliau juga mengecam kedutaan Amerika Syarikat di Lubnan yang mengancam media tempatan yang memaparkan gerakan Hizbullah sebagai penjamin keselamatan negara tersebut. -ABNA24
/315
25 Ogos 2017 - 02:03
News ID: 850354

Pemimpin gerakan Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah berkata bahawa anggota kumpulan pengganas Takfiri Daesh yang berada di kawasan sempadan Syria-Lubnan kini berada di dalam kepungan.