30 Ogos 2017 - 14:03
Umat Islam Di India Digesa Jangan Lakukan Korban Di Tepi Jalan

Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, beberapa pemimpin masyarakat Islam di India menggesa umat Islam tidak melakukan upacara korban di tempat awam seperti di jalan raya yang lazim diamalkan di sesetengah tempat di negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, beberapa pemimpin masyarakat Islam di India menggesa umat Islam tidak melakukan upacara korban di tempat awam seperti di jalan raya yang lazim diamalkan di sesetengah tempat di negara itu.

“Jangan lakukan korban di tepi jalan dan lorong kecil, tetapi lakukannya di kawasan lapang.

Pastikan tahap kebersihan yang tinggi dipatuhi,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan Jamate-e-Islami, Jamiat Ulema, dan beberapa pertubuhan besar lain yang dipetik akhbar Kashmir Monitor.

“Jangan beri peluang kepada tindakan atau sikap anda menjadi aduan jiran, khasnya mereka yang mempunyai kepercayaan dan agama lain.

Anda tidak patut membiarkan hubungan menjadi tegang dan perlu mengawal diri.

Jangan mengambil tindakan undang-undang sendiri dalam sebarang keadaan.”

Beberapa pemimpin termasuk Presiden Jamate-e-Islami, Jalauddin Umri dan Presiden Jamiat Ulema, Mahmood Madani mencadangkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan di setiap kawasan bagi memastikan “proses korban berjalan lancar di bawah pengawasan mereka”.

Umat Islam di India dijangka meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha pada 2 September ini.

Hanya 14% daripada 1.3 bilion populasi India terdiri daripada umat Islam dan lembu dianggap binatang suci oleh majoriti rakyat India yang beragama Hindu.

Penyembelihan lembu dilarang di kebanyakan tempat di India, tetapi penyokong kuat agama Hindu dan kumpulan “vigilante” lembu semakin berani sejak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi berkuasa pada 2014.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International melaporkan sekurang-kurangnya 10 umat Islam dibunuh sejak April lalu dalam keganasan berkaitan lembu.

Mei lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi mengeluarkan arahan penjualan lembu hanya dibenarkan untuk tujuan pertanian, seperti membajak dan penghasilan susu, dalam usaha menghentikan kekejaman terhadap binatang.

Bagaimanapun, larangan itu digantung Mahkamah Agung India, Julai lalu.