11 Oktober 2017 - 02:29
2 Dihadapkan Ke Mahkamah, Miliki Bahan Berkaitan IS

Akibat memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS, seorang gelandangan, Hasbullah Hassan,38, dipenjara 4 tahun, manakala penolong pegawai perubatan, Khairul Azhar Hassan, 36, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Akibat memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS, seorang gelandangan, Hasbullah Hassan,38, dipenjara 4 tahun, manakala penolong pegawai perubatan, Khairul Azhar Hassan, 36, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Hasbullah Hassan, yang mengaku bersalah memiliki 13 video dan 8 keping gambar dalam telefon bimbitnya berkaitan kumpulan pengganas IS.

Hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 29 Januari lepas.

Sementara itu, Khairul Azhar Hassan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS dalam akaun Facebook miliknya April lepas.

Khairul didakwa memiliki bahan berunsur keganasan dan berkaitan IS dalam akaun Facebook miliknya atas nama ‘Khairulazhar Hassan’.

Mohd Sofian berkata memiliki bahan berkaitan kumpulan IS merupakan kesalahan kerana daripada tidak berminat untuk mengambil tahu hal ehwal kumpulan pengganas, akhirnya tertuduh boleh terpengaruh dan mungkin terjebak menjadi anggota kumpulan berkenaan.

Hasbullah, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan dengan alasan itu kesalahan pertamanya dan sudah dia sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.

Duda anak 2 itu berkata dia tidak tahu memiliki bahan berkenaan adalah satu kesalahan, dan hanya mengetahui perkara itu selepas ditangkap pihak polis.

“Saya memiliki bahan (video dan gambar berkaitan IS), bukanlah bermakna saya menyokong (kumpulan pengganas IS)…saya hanya ingin melihat sahaja dan perkara ini menjadi pengajaran buat saya,” katanya yang turut memaklumkan dia mempunyai masalah kesihatan iaitu ketumbuhan pada saraf tunjang.

“Saya berharap kamu betul-betul insaf dan berubah serta menjadi manusia yang berguna kepada negara selepas keluar dari tahanan,” kata hakim itu kepada Hasbullah.

Hasil analisis mendapati telefon bimbit itu mengandungi 13 video dan 8 keping gambar berkaitan kumpulan pengganas IS.

Hasbullah didakwa melakukan kesalahan itu di perkarangan bangunan Lebuh Ampang di sini pada 12.20 tengah hari 29 Januari lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas mana-mana bahan terbabit.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin@Baharum memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada Hasbullah dengan mengambil kira kesalahan seumpama itu akan menjadi barah kepada masyarakat jika tidak dibendung lebih awal.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap sepasukan pegawai dan anggota polis di perkarangan bangunan bank asing selepas telefon bimbit jenama Samsung berwarna putih dengan nombor telefon yang didaftarkan atas namanya mengandungi item berkenaan.

Manakala Khairul Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 24, Bahagian E8 Cawangan Khas, Bukit Aman, di sini pada 12.20 tengah hari, 3 April lepas.

Penolong pegawai perubatan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana bahan tersebut jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hezri Shaharil.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menetapkan 23 Oktober ini untuk sebutan semula kes penolong pegawai perubatan itu bagi serahan dokumen.