Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Musuh Ahlulbait sentiasa cuba untuk menjauhkan umat Nabi Muhammad s.a.w daripada para pewaris baginda yang sebenar. Pewaris yang dimaksudkan di sini tidak lain tidak bukan adalah para wasi yang dilantik sendiri oleh Allah S.W.T melalui perantaraan nabi-Nya atau Imam sebelumnya.
Dalam mencapai niat jahat itu, para musuh Allah berusaha dengan menggunakan pelbagai teknik yang hari demi hari semakin diperhalusi mereka dalam rangka menipu umat Islam tanpa mereka sendiri sedari. Antara teknik yang sering mereka gunakan ialah teknik pembunuhan keperibadian atau syaksiah dan perkara ini memiliki pelabagai misdaq termasuk penyebaran fitnah, penulisan semula sejarah, pemalsuan hadis dan lain-lain.
Akan tetapi, Allah juga memiliki pelbagai cara untuk mematahkan usaha licik dan jahat mereka itu seperti firmannya yang berbunyi;
“Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya” (Quran/Ali Imran: 54)
Antara cara yang paling efektif adalah dengan meninggikan syaksiah para Imam melalui cara pemberian Ilmu Ilahi. Oleh kerana itu, falsafah kepemilikan Ilmu Ilahi bagi seorang wasi atau Imam di dalam akidah pengikut Syiah Imamiyah juga akan menjadi lebih jelas dan nyata khususnya jikalau perkara ini dilihat dalam aspek tafsiran ayat di atas itu tadi.
Sepertimana yang kita ketahui, Ilmu Ilahi menjadi jaminan kepada kedudukan seorang Imam kerana sifatnya yang sangat luas umpama samudera yang tidak bertepian. Berhubung Ilmu Ilahi cukuplah al-Quran menjadi saksi betapa agungnya perkara itu dan betapa manusia tidak mampu menggambarkan keluasannya apatah lagi mencapainya -melainkan individu yang diridhainya seperti para Nabi dan Imam yang dianugerahkan dengan perkara itu dalam rangka memastikan mereka mampu melaksanakan tugasan mereka tanpa cacat atau cela-. Quran berkata;
“Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya semua air lautan itu dijadikan tinta (dakwat) untuk menulis kalimah-kalimah Allah, nescaya air lautan itu akan kekeringan sebelum kalimah-kalimah Allah itu selesai ditulis, walaupun ditambah sekali ganda lagi dengan air lautan itu.” (Quran/ Kahfi:109)
Sempena hari ulang tahun kesyahidan Imam yang kesembilan iaitu Imam Jawad a.s. Kita di dalam artikel pendek ini akan melihat salah sebuah peristiwa yang mewarnai kehidupan beliau a.s di mana Allah S.W.T melalui pemberian Ilmu Ilahi kepadanya dengan mudah mampu menyelamatkan syaksiah hujjah-Nya (bahkan meninggikannya) supaya beliau kemudiannya mampu secara berterusan menjadi obor kepada pencari kebenaran di sepanjang zaman dan dalam masa yang sama menutup pintu kepada mereka yang keras kepala, degil lagi memberontak untuk berdalih di hadapan Allah.
Pada zaman hidup beliau a.s, pemerintahan dunia Islam ketika itu berada di tangan musuh Ahlulbait iaitu Bani Abbasiyah. Imam Jawad yang ketika masa itu masih muda dianggap oleh sebahagian pegawai pentadbir Abbasiyah sebagai individu yang tidak kompeten khususnya dari segi pencapaian ilmiah.
Dengan melihat usia Imam dan khayalan batil yang menyusul perkara itu di benak mereka, para pegawai itu tadi berusaha untuk merendahkan syaksiah ilmiah Imam a.s dengan memanggilnya hadir di dalam diskusi ilmu dengan para cendekiawan lain sama ada muslim atau tidak.
Menurut khayalan batil mereka, jika Imam a.s kelihatan jahil (na'uzubillah min zalik) di hadapan para cendekiawan tersebut, maka kedudukan beliau di hadapan masyarakat akan menjadi goyah sekaligus menyebabkan para pengikut Imam sendiri bakal meragui kebenaran beliau a.s sebagai pemimpin Ilahi yang menggantikan bapanya Imam Ridha a.s.
Salah sebuah debat ilmiah yang dianjurkan oleh Bani Abbasiyah dalam rangka untuk mencapai niat jahat mereka ialah debat yang berlaku antara Yahya Bin Aksam dan Imam Jawad a.s di istana diraja. Debat itu secara ringkas -dengan mengambil kira inti asli perbahasan kita- adalah seperti berikut.
Yahya bertanya: Apakah taklif mereka yang memburu sedangkan dia berada di dalam ihram di Mekah dan haiwan buruannya itu mati?
Imam di sebalik usianya muda, di sebalik menjawab soalan dangkal itu mula menghujani Yahya dengan soalan far'i atau ranting dalam rangka untuk menunjukkan kepada umum bahawa soalan yang diutarakan Yahya (seorang alim terkemuka) merupakan soalan yang terlalu cetek dan masih perlu diperhalusi khususnya apabila diskusi itu berlaku di peringkat yang tertinggi. Selain daripada itu, Imam juga memiliki misi lain apabila berbuat demikian. Beliau sebenarnya berusaha untuk membuktikan bahawa ilmu wahyu itu berada di dalam genggamannya sebagai seorang hujjah Allah di muka bumi ini sekaligus mengukuhkan dalil ke atas kedudukan beliau a.s sebagai pemimpin umat yang sah.
Imam bertanya kembali:
1) Apakah perburuan itu berlaku di kawasan haram atau di luarnya?
2) Apakah pelaku sedia maklum tentang hukuman di atas perbuatannya itu?
3) Apakah perburuan itu disengajakan atau tidak?
4) Apakah dia hamba atau tidak?
5) Apakah dia muda atau tua?
6) Apakah dia pernah melakukannya sebelum itu atau tidak?
7) Apakah haiwan buruan itu burung atau tidak?
8) Apakah haiwan buruan itu kecil atau besar?
9) Apakah dia meneruskan perbuatannya atau apakah dia menyesal?
10) Adakah dia memburu di siang hari atau di malam hari?
11) Apakah ihramnya itu ihram umrah atau haji?
Yahya terdiam apabila mendengar soalan itu. Ini kerana, dia sedia maklum bahawa tindakan meneruskan debat itu akan hanya menjatuhkan air mukanya (yang zahirnya tidak menguasai jawapan kepada situasi yang pelbagai itu) jika dia berkeras untuk meneruskan perbahasan dan dalam masa yang sama mengharumkan lagi nama individu yang ingin dimusnahkan syaksiahnya iaitu Imam Jawad a.s.
Ma'mun -yang turut berada di dalam majlis itu- ketika melihat kepasrahan ulama bayarannya di hadapan pemuda berwibawa dari keluarga Nabi s.a.w kemudiannya menanyakan daripada Imam jawapan kepada situasi pelbagai yang diutarakan oleh Imam a.s sendiri.
Imam dengan lancar menjawab satu persatu persoalan yang beliau sendiri lontarkan itu tadi dan kemudiannya mula menanyakan kepada Yahya Bin Aksam soalan-soalan ilmiah yang lain. Seperti yang mampu diteka oleh pembaca, Yahya Bin Aksam gagal menjawab soalan-soalan Imam itu tadi. Melihat perkara itu, Ma'mun berdiri dan berkata;
"Ahlulbait (Nabi) lebih tinggi dari yang lain dari aspek kebaikan. Usia mudanya tidak mengurangkan kedudukannya. Tidakkah kalian tahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w memulakan dakwahnya kepada Islam kepada ahli keluarganya sendiri yang mana Imam Ali menerima dakwah itu di sebalik usia yang muda iaitu 10 tahun... Nabi juga menerima bai'ah Imam Hassan dan Hussein a.s ketika mereka berusia kurang daripada enam tahun sedangkan ba'ah daripada kanak di bawah usia itu tidak diterima oleh baginda s.a.w."
Allah yang Maha Mengetahui tahu di bahu mana hendak diletakkan tanggungjawab kepimpinan umat ini. Ini kerana, Dialah yang memberikan individu itu kesiapan termasuk Ilmu Ilahi untuk kemudian menggalas tugas penting menghidayahi umat. Melalui Ilmu Ilahi juga seseorang Imam itu mampu dikenali oleh umatnya dan dengan perkara itu jugalah syaksiah kekasih-Nya terpelihara di sebalik usaha keras musuh-musuh Allah untuk memadamkan cahaya hidayah melalui pembunuhan syaksiah. Quran berhubung perkara terkahir di atas berkata;
"Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya." (Quran/ Ash-Shaff 8) - ABNA24
2 Ogos 2019 - 18:23
News ID: 966393

Musuh Ahlulbait sentiasa cuba untuk menjauhkan umat Nabi Muhammad s.a.w daripada para pewaris baginda yang sebenar. Pewaris yang dimaksudkan di sini tidak lain tidak bukan adalah para wasi yang dilantik sendiri oleh Allah S.W.T melalui perantaraan nabi-Nya atau Imam sebelumnya.