Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bersedih adalah lumrah kehidupan yang mana fenomena itu merupakan sebahagian daripada cetak biru makhluk bernama manusia itu sendiri. Namun, sebagaimana perkara lain, seluruh fenomena kehidupan bani Adam haruslah dipaksikan dengan sistem tauhid yang menunjangi alam takwini. Dalam erti kata lain, kesedihan kita haruslah diselarikan dengan kehendak Allah s.w.t dan kekasih-Nya sehingga emosi itu mampu memiliki warna ilahi .
Al-Quran sendiri tidak mencela fenomena ini secara mutlak, bahkan di dalam ayatnya, kisah kesedihan yang ditanggung oleh kekasih Allah s.w.t seringkali dizikirkan kepada mereka yang mahu mendengar kalam Allah s.w.t. Sebagai contoh, al-Quran menghikayatkan kata-kata Nabi Ya’qub a.s yang terpisah dari puteranya, Nabi Yusuf a.s sebagai berkata, “Sesungguhnya hanya kepada Allah sahaja aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (QS. Yusuf [12]:86)
Di kesempatan lain, beliau dipetik berkata, “Aduhai duka citaku terhadap Yusuf, dan kedua matanya menjadi putih karena kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya.” (QS. Yusuf [12]:84)
Seperti yang para pembaca sedia maklum, kesedihan akibat berjauhan daripada Nabi Yusuf a.s bukan hanya disebabkan oleh ketidakhadiran seorang anak dari ayahnya. Ini kerana seorang manusia yang memiliki pandangan dunia tauhid memahami bahawa isteri dan anak itu semuanya ujian daripada Allah s.w.t seperti yang tertera di dalam ayat ke-28 surah Anfaal yang berbunyi "Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar."
Oleh itu, Nabi Ya'qub yang merupakan seorang maksum pasti tidak akan terpenjara di dalam cinta semu yang menjauhkan beliau daripada keridhaan Allah s.w.t. Jadi akal sihat kita ketika dihadapkan dengan perkara ini pasti mencari punca lain kepada kesedihan mendalam yang terbentuk di dalam jiwa muwahhid Nabi Ya'kub akibat daripada keterpisahan tersebut.
Menurut ulama, solusi kepada permasalahan ini perlu dicari dalam sistem tauhid Islam itu sendiri yang merupakan sistem tauhid mutlak dan komprehensif. Sistem inilah yang sepatutnya mewarnai seluruh aspek kehidupan seorang mu'min termasuk pemikiran dan tata kerjanya. Para anbiya' juga tidak terkecuali daripada sistem ini bahkan mereka adalah pahlawan-pahlawan muwahhid yang mana jiwa mereka suci daripada sebarang bentuk kotoron kesirikan.
Di sudut lain, Nabi Ya’qub juga serba maklum akan ketinggian makam puteranya, Nabi Yusuf a.s yang merupakan salah seorang daripada nabi besar Allah s.w.t. Bahkan sebahagian juga percaya bahawa Yusuf a.s turut memiliki wilayah ke atas bapanya yang tercinta.
Dengan memberikan perhatian terhadap konsep tauhid dan kedudukan Nabi Yusuf a.s yang begitu tinggi di sisi Allah s.w.t, para cendekiawan dunia Islam pada akhirnya menafsirkan keterpisahan tersebut sebagai keterpisahan seorang hamba Allah s.w.t daripada kekasih-Nya. Jadi tidak hairanlah mengapa kesedihan dan kesusahan ini tidak sedikitpun dicela oleh al-Qur’an kerana faktor kemunculan "emosi atau kaif nafsani" tersebut memiliki warna ilahi yang serasi dengan sistem tauhid Islam.
Setelah mengenali kesedihan dan kegembiraan sebagai sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia dan bagaimana al-Quran mengajarkan kita bagaimana untuk bersedih di dalam acuan tauhid murni, kini tidak salah jikalau kita kita melihat bagaimana para Maksum menggambarkan perkara ini khususnya dari perspektif yang terkait dengan kehidupan kita pada hari ini.
Menurut Imam Ja'far Sadiq a.s, “Nafas seseorang yang bersedih dan bersusah hati akibat musibah yang menimpa kami adalah tasbih dan kesedihannya atas penderitaan kami adalah ibadah.” (Nafas al-Mahmûm-Syaikh Abbas Qummi). Setelah melihat hadis, akal kita dengan pantas mampu mencerap dengan baik bahawa saranan mereka ini menunjukkan bahawa kesedihan yang timbul akibat meratapi musibah dan tragedi yang menimpa mereka ini memiliki warna ilahi -jika kita masih khuatir menyebutkannya sebagai puncak ketauhidan bagi seorang pencinta wilayah-.
Melalui ayat-ayat suci al-Quran dan hadis Imam Shadiq itu tadi, kita mampu mencerap bahawa konsep tauhid dan tindakan meratapi musibah dan tragedi yang menimpa mereka adalah dua perkara yang melebur di dalam satu acuan ilahi. Perkara ini tidak pelik kerana kedudukan mereka sebagai pemegang amanah takwini dan tasyri'inya Allah s.w.t di dalam sistem akidah Islam itu amat jelas sekali.
Kedudukan seperti ini pula tidak akan pernah dicapai melainkan bagi mereka yang tidak pernah berkata-kata melainkan apa yang selari dengan kehendak Allah s.w.t -seperti yang dinukilkan oleh ayat al-Quran "Dan ia tidak memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri".(QS. Najm [53]:3)- dan mereka yang benar-benar disucikan oleh Allah itu sendiri -seperti yang dinukilkan al-Quran dalam ayat ke-33 surah Maidah yang berbunyi, "Sesungguhnya Allah hendak benar-benar menyucikan kalian dari kekotoran- wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya-.
Oleh kerana itu, kita pada akhirnya tiba pada kesimpulan bahawa meratapi musibah mereka adalah perkara yang berpaksi kepada kehendak dan iradah Allah s.w.t. Akan tetapi, apakah falsafah lain yang menyebabkan para Maksumin seringkali menitikberatkan perkara ini? Menurut ulama Islam, meratapi musibah yang menimpa Nabi Islam dan keluarga suci baginda memiliki beberapa fadilatnya.
Antara fadilat-fadilat itu adalah seperti berikut;
1) Menghidupkan urusan-urusan Nabi s.a.w dan keluarga suci baginda a.s.
Umat Islam, akibat daripada kejauhan zaman daripada era keberadaan Nabi s.a.w dan kehadiran fizikal para Imam maksum yang lain serta keterjerumusan mereka dalam sistem materi yang membelenggu jiwa mujarrad mereka, semakin hari semakin jauh daripada mesej dan ajaran Islam sebenar.
Dalam masa yang lain, meratapi seseorang itu telah diakui sebagai medium yang ampuh dan mujarab dalam mengangkat tirai kejauhan zaman dan hijab dunia materi yang lain sekaligus mendekatkan individu itu kepada mereka yang diratapinya.
Sebagai contoh, seorang yang kehilangan ibunya pada puluhan tahun lepas mungkin sahaja akibat daripada jeda waktu yang begitu panjang dan keterpurukannya dalam rutin dunia harian telah menyebabkan memorinya berkaitan dengan ibunya melemah.
Akan tetapi, jika dia, sebagai contoh menangisi ibunya pada hari tertentu seperti hari di mana dia melihat pakaian ibunya di dalam almari usang, seluruh memori silam sedikit demi sedikit akan hadir di dalam dirinya, bahkan dia seakan-akan merasakan bahawa ibunya baru sahaja meninggalkannya pada hari semalam.
Seluruh pesan dan nasihat ibunya juga akan segera diingatinya sendiri tanpa sebarang usaha ataupun jerih payah. Perkara yang sama juga berlaku jika seseorang itu meratapi musibah manusia-manusia suci khususnya Imam Hussein a.s. Tangisan ke atas musibah mereka akan segera membawa kita kepada kehidupan nurani mereka, iaitu kehidupan yang disarankan oleh tauhid murni itu sendiri.
Perkara-peraka ini pasti menggerakkan manusia untuk menghidupkan kembali citra mereka a.s di dalam kehidupan individu, masyarakat dan umat Islam secara keseluruhan. Dalam erti kata lain pesan, jalan dan objektif-objektif mereka pasti akan terpelihara di dalam jiwa yang meratapi musibah mereka itu tadi.
2) Memperolehi makrifat tentang musuh Allah s.w.t
Kesedihan yang berpaksi kepada sistem tauhid di atas juga mampu memperkenalkan figur-figur penzalim dan sifat-sifat mereka -khususnya mereka yang hidup sezaman dengan zaman para maksumin-. Dalam erti kata lain, meratapi musibah Imam Hussein a.s pasti akan menyebabkan si peratap mengenali mereka yang menzalimi Imamnya dan sifat-sifat khusus yang dimiliki oleh mereka.
Makrifat itu sebenarnya berakar-umbi daripada makrifat berhubung musuh Allah s.w.t yang menurut al-Quran merupakan sebuah makrifat yang terang-benderang - "kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu". (QS. al-Baqaraf [2]:168). Akan tetapi syaitan dan hawa nafsu kita juga bijak dalam menghijabi musuh-musuh itu dengan pakaian yang indah seperti yang dinukilkan al-Quran dalam ayat ke-63, surah al-Nahl, "lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya".
Para musuh dengan tindakan merubah sejarah, pembunuhan syaksiah, penyebaran budaya yang melalaikan seperti cinta wanita, wang dan dan lain-lain berusaha keras untuk melalaikan manusia daripada mengenali musuh mereka yang nyata. Bahkan mereka begitu sukses di dalam urusan ini sehingga sebahagian besar umat Islam pada dinihari bahkan menganggap para muush Allah s.w.t dan para maksumin itu tadi sebagai simbol kebebasan dan kemajuan manusia.
Akan tetapi, di sebalik usaha keras musuh-musuh Allah s.w.t untuk menutup kebenaran dan jalan ke arahnya, Allah berjanji di dalam ayat ke-8, surah ke-61 untuk meleburkan kesemua rancangan jahat musuh sekaligus menjaga pintu tauhid supaya sentiasa terbuka melalui alam pencipataan yang canggih lagi kompleks ini -yang mana bukan sahaja musuh-Nya juga gagal mencerapnya, kita juga bahkan seringkali alpa terhadap kebesaran Allah itu tadi-.
al-Quran berhubung isu ini bersabda, "Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)". (QS. al-Saff [61]:8).
Salah satu daripada misdaq atau contoh cahaya Allah s.w.t adalah cahaya fitrah yang menggesa manusia untuk bersedih ke atas musibah yang menimpa kaum yang dizalimi. Dalam isu ini, musibah yang menimpa para maksum yang seluruh kehidupan mereka dihabiskan di jalan Allah s.w.t adalah sebuah musibah nyata yang seharusnya membangkitkan jiwa manusia yang terpuruk dalam tipu daya syaitan serta hawa nafsu untuk bangkit mengenali keburukan dan memisahkan yang batil daripada kebenaran.
Sebagai contoh, meratapi musibah al-Hussein adalah senjata ampuh manusia untuk mengangkat seluruh hijab "hiasan syaitan dan hawa nafsu" yang selama ini menjauhkan dirinya daripada mengenali musuh-musuh al-Hussein. Perkara ini tidak mengenali zaman dan tidak kira sama ada pada zaman Nabi s.a.w, zaman sekarang ataupun zaman yang akan datang, sebarang usaha jahat musuh Islam mampu dikhunsakan dengan meratapi al-Hussein.
Senjata kaum mu'min yang ampuh dalam menangani perkara ini adalah meratapi Asyura dan berusaha menziarahi Imam Hussein pada hari Arbain dalam apa bentukpun. Kesedihan dan ratapan ini membawa kita kepada makrifatullah, makrifat kepada Imam dan makrifat kepada musuh mereka yang sepastinya juga merupakan musuh Allah s.w.t.
Selepas merenung kesemua perkara di atas, kita dengan segera mampu mencerap dengan baik mengapa terdapat hadis yang yang mengatakan bahawa tangisan mereka yang meratapi musibah Imam Hussein serta keluarganya mampu meningkatkan makam seseorang itu di sisi Allah. Ini kerana tangisan terhadap Imam Hussein adalah misdaq kepada tangisan yang selari dengan dunia tauhid murni.
Mengapa tidak? Imam Hussein adalah kekasih Allah s.w.t dan beliau mengorbankan diri dan keluarganya bagi mencapai keridhaan Allah yang merupakan puncak ketauhidan yang diajarkan oleh datuknya, Nabi Muhammad s.a.w. - ABNA24