Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kebebasan adalah sebuah konsep yang mendapat perhatian besar masyarakat dunia pada hari ini dan istilah itu seringkali digunapakai oleh kita untuk merujuk kepada apa yang dipanggil sebagai kebebasan sosial.
Penggunaan kerap kosa kata kebebasan untuk menyampaikan makna tersebut lama-kelamaan menyebabkan sebahagian besar daripada kita beranggapan bahawa makna kepada konsep yang luas itu dikira sama dengan makna yang dibawa oleh lafaz kebebasan sosial itu sendiri. Perkara ini telah mewujudkan permasalah semantik yang akhirnya membawa kita kepada perbezaan pendapat yang tidak berasas sama sekali.
Lebih teruk daripada itu, pemahaman dangkal yang timbul akibat daripada pemakaian konsep itu dengan makna yang tunggal juga telah menyebabkan Islam diserang daripada pelbagai penjuru, khususnya dalam isu yang terkait dengan kebebasan sosial. Selain daripada itu, ibarat jatuh ditimpa tangga, musuh Islam juga tidak melepaskan kesempatan yang ada untuk mengangkat diri mereka sebagai pahlawan kebebasan di hadapan warga dunia setelah mengecilkan skop penggunaan kata tersebut.
Berdasarkan perkara di atas, adalah penting untuk kita mengkaji semula konsep kebebasan secara menyeluruh bagi menghentikan salah faham yang timbul akibat daripada penggunaan popular konsep tersebut. Selepas itu, kita juga perlu melihat bentuk-bentuk kebebasan yang wujud di dalam perbahasan ini sepertimana yang telah ditawarkan oleh para pengkaji yang tidak berat sebelah.
Akhir sekali, kita juga akan mengkaji hubungan yang wujud di antara bentuk-bentuk kebebasan itu tadi sehingga gambaran umum yang jelas berkaitan dengan konsep kebebasan mula terbentuk di dalam minda kita. Kesemua perkara itu akan kami bahaskan buat pembaca di dalam acuan perbahasan yang telah disuakan oleh cendekiawan tersohor Revolusi Islam iaitu Syahid Mutahhari.
Tujuan kami mengecilkan skop perbincangan dengan mambahaskan pandangan Syahid Mutahhari berkaitan dengan isu ini ialah untuk memastikan perbahasan ini kekal kompak dan tidak bertele-tele buat para pembaca. Untuk makluman semua, kami telah mengekstrak pendapat beliau daripada sebuah siri ucapan yang telah disampaikannya puluhan tahun lepas. Ucapan-ucapan itu kemudiannya telah dibukukan di dalam kitab bernama 'Kebebasan Maknawi'.
Takrif Kebebasan
Syahid Mutahhari di awal ucapannya berkata bahawa konsep kebebasan secara mutlak membawa erti 'ketiadaan penghalang yang membantutkan pertumbuhan objek hidup termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia'.
Pendefinisian di atas mungkin sahaja aneh bagi sebahagian daripada kita khususnya ketika Ustaz Mutahhari mengimplikasikan bahawa konsep kebebasan boleh diterapkan di dalam dunia tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Dalam rangka memudahkan cerapan kita, Syahid Mutahhari di dalam ucapan yang sama telah menerangkan perihal tiga perkara yang penting di dalam proses pertumbuhan makhluk-makhluk hidup. Tiga perkara tersebut ialah;
1) Tarbiah (menurut erti bahasa Arabya yang memiliki makna yang lebih luas dari makna Melayunya)
2) Keselamatan
3) Kebebasan
Di sini, terdapat dua konsep penting harus mendapat perhatian khusus kita sebelum membahaskan tiga perkara di atas. Pertama ialah pertumbuhan dan yang kedua ialah kehidupan. Di sebalik wujudnya perbezaan di antara dua konsep tersebut, kerja kita menjadi lebih mudah kerana pertumbuhan itu sendiri merupakan simbol utama kehidupan dan kedua-duanya sama sekali tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain.
Dalam bahasa mudah, setiap yang tumbuh dan berkembang itu adalah jauhar materi yang hidup dan setiap jauhar materi yang hidup itu tumbuh serta berkembang. Menurut bahasa teknikalnya (yang digunakai oleh cendekiawan mantik), instansi/misdaq kedua-dua konsep yang berbeza itu melebur di dalam wujud yang satu di alam objektif/luar (minda pencerap yang merupakan subjek).
Ustaz Mutahhari juga berpendapat bahawa setiap yang hidup dan yang berkembang memerlukan tiga perkara di atas dalam rangka menuju ke arah kesempurnaan wujudnya. Di satu sudut lain, perjalanan menuju kesempurnaan adalah sebuah pergerakan yang bermula dari potensi menuju ke arah aktualisasi (bukan pergerakan tempat) dan mafhum inilah yang diguanakan oleh beliau ketika menghadkan misdaq objek yang tumbuh dan berkembang itu tadi kepada jauhar materi yang hidup.
Ustaz kemudiannya membuat kesimpulan bahawa maka mafhum tarbiah, keselamatan dan kebebasan tidak boleh digandingkan jauhar materi yang mati kerana substan itu tidak memiliki sebarang bentuk pertumbuhan dan perkembangan. Di sini beliau juga mengingatkan para pendengarnya bahawa ketiga-tiga mafhum itu memiliki makna yang bersesuaian dengan setiap ketiga-tiga kumpulan benda hidup yang diwakilinya (tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia).
Setelah itu, Syahid Mutahhari mula menerangkan konsep-konsep bertiga di atas secara berasingan. Menurut beliau, tarbiah membawa erti sekumpulan faktor yang diperlukan oleh makhluk hidup di dalam pertumbuhan mereka. Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan memerlukan tanah, air dan sinaran matahari untuk perkembangannya manakala haiwan dan manusia pula memiliki sekumpulan keperluan yang lain. Untuk makluman pembaca, sebahagian keperluan tersebut dikongsi bersama oleh ketiga-tiga makhluk hidup itu tadi sedangkan sebahagian yang lain pula diperlukan secara khusus oleh setiap daripada mereka.
Selepas itu, beliau berkata bahawa setiap makhluk hidup memerlukan beberapa perkara penting bagi meneruskan kelangsungan hidupnya. Sebagai contoh, manusia bagi meneruskan kelangsungan hidupnya memerlukan nyawa, kekayaan dan kesihatan. Perkara-perkara itu pula haruslah dipelihara daripada musuh atau faktor-faktor luar yang mampu menghacurkannya dan mafhum inilah yang dimaksudkan oleh beliau sebagai keselamatan.
Ustaz kemudiannya mula menerangkan maksud kebebasan secara mutlak dengan meperkenalkannya sebagai ketiadaan penghalang yang membantutkan pertumbuhan objek hidup tersebut. Berdasarkan penerangan lepas, para pembaca sepatutnya sudah mampu meneka bahawa kebebasan yang diperlukan tumbuhan berbeza daripada kebebasan yang diperlukan oleh haiwan dan kebebasan yang diperlukan oleh manusia pula berbeza dengan kebebasan yang diperlukan oleh haiwan.
Berasaskan perkara-perkara di atas, Syahid Mutahhari percaya bahawa insan yang bebas adalah insan yang berperang dengan seluruh penghalang yang wujud di hadapan jalan pertumbuhan dan kesempurnaannya. Beliau kemudiannya menambah dengan mengingatkan pendengarnya bahawa penjelasan di atas merupakan penjelasan ringkas berhubung mafhum kebebasan secara mutlak tanpa sebarang fasal mantik yang membahagikannya.
Pembahagian Konsep Kebebasan
Setelah memberikan definisi kepada konsep kebebasan secara mutlak, Ustaz Mutahhari menerangkan bahawa manusia di dalam kehidupan peribadi dan sosialnya memerlukan kebebasan yang lebih daripada kebebasan yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Menurut beliau lagi, keperluan eksklusif tersebut terbahagi kepada dua bahagian yang lebih kecil skopnya iaitu;
1) Kebebasan Sosial
2) Kebebasan Maknawi
Kebebasan Sosial
Setelah membahagikan konsep kebebasan kepada dua konsep yang lebih kecil skopnya, beliau terus menjemput kita untuk menjenguk makna kedua-dua konsep di atas secara berasingan. Menurut beliau, manusia ketika hidup di tengah-tengah masyarakat tidak boleh dihalang oleh ahli anggota masyarakat yang lain daripada menuju ke arah kesempurnaanya. Ustaz juga menambah bahawa halangan yang dimaksudkan itu bahkan merangkumi tindakan penzalim yang mempergunakan individu tersebut untuk kepentingan mereka sendiri.
Dalam erti kata lain, masyarakat tidak boleh berdiri di antara seseorang dan kesempurnaannya tanpa alasan serta mengeksploitasi kudrat berfikir dan jasmaninya bagi kepentingan mereka sendiri. Kesimpulannya, apabila seseorang itu bebas daripada faktor luar yang menjadi penghalang kepadanya dalam rangka mengecapi kesempurnaan dan natijahnya, individu itu boleh dianggap memiliki kebebasan sosial.
Salah satu daripada musibah manusia di sepanjang zaman ialah kewujudan sekumpulan manusia berkuasa yang mempergunakan individu lain bagi memelihara kepentingan mereka sendiri. Untuk mencapai tujuan jahat itu, mereka terkadang pergi ke satu tahap di mana mereka sanggup memperhambakan manusia yang lain secara zalim.
Islam Dan Kebebasan Sosial
Menurut nas al-Quran, salah satu daripada objektif asli pengutusan para anbiya' adalah untuk memberikan kebebasan sosial kepada bani Adam. Dalam ibarat lain, Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah melalui nabinya untuk menyelamatkan manusia daripada perhambaan insan yang lain.
...وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ...
...dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah... :(Quran, Ali-Imran; Ayat 64)
Melalui ayat di atas, Allah ingin memberitahu kepada kita bahawa sistem pengeksploitasian dan sistem yang memerah buah kehidupan insan yang lain secara tidak sah diperangi dan cuba dimansuhkan oleh Islam daripada masyarakat. Di dalam ayat yang lain pula, Islam menegaskan bahawa setiap manusia itu memiliki kedudukan yang sama di sisi Allah dan satu-satunya perkara yang membezakan mereka ialah ketakwaan.
Akan tetapi, perbahasan mengapa Islam tidak memansuhkan sistem perhambaan (seperti yang difahami pada hari ini) sejak daripada permulaan dakwah Nabi s.a.w. merupakan sebuah perbahasan yang berbeza dan perkara itu telahpun dijawab oleh para cendekiawan dari Islam dari pelbagai perspektif perbahasan termasuk syariah.
Di sini, kami tidak akan membahaskan isu tersebut dengan lebih lanjut kerana artikel ini tidak memiliki kapasiti untuk membahaskannya secara rinci. Apa yang mampu kami katakan tentang perkara di atas ialah Islam tidak pernah menganggap sistem perhambaan itu sebagai sebuah fenomena tabi'i di dalam kehidupan sosial masyarakat manusia.
Selain daripada itu, setiap orang yang mengkaji dengan jujur seluruh program yang wujud di dalam risalah Muhammadi ketika ajaran suci itu menanggapi sistem tersebut dengan pantas dapat memahami bahawa pendekatan Islam berkaitan dengan sistem itu tidak lebih daripada sebuah upaya jangka panjang untuk menghapuskan sebuah sistem yang telah berakar-umbi di dalam fabrik sosial masyarakat kuno, sistem ekonomi mereka, struktur budaya dan solusi mereka kepada permasalah yang menyusul selepas krisis sosial termasuk perang secara berangsur-angsur.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. :(Surat Al-Hujurat; Ayat 13)
Di dalam ayat di atas pula, Islam menegaskan bahawa setiap manusia itu memiliki kedudukan yang sama di sisi Allah dan satu-satunya perkara yang membezakan mereka ialah ketakwaan. Perkara itu, selain daripada menunjukkan bagaimana Islam memerangi budaya simpang yang wujud di dalam sistem 'perhambaan' itu sendiri, agama suci itu juga mengisyarahkan kepada manusia tentang satu bentuk kebebasan yang lain yang akan dirangkumi di bawah perbahasan kebebasan maknawi.
Kebebasan Maknawi
Adapun, bentuk kebebasan kedua yang akan kita bicarakan sekarang ialah kebebasan maknawi. Menurut Syahid Mutahhari, salah satu perbezaan besar di antara maktab pemikiran manusia dan maktab ilahi khususnya ketika membicarakan isu kebebasan terhimpun di dalam perbahasan ini. Maktab ilahi yang telah dibawakan oleh para anbiya' untuk tidak sekadar bertujuan untuk memberikan kebebasan sosial kepada umat manusia. Ia bahkan berhasrat untuk memberikan kebebasan maknawi kepada bani Adam.
Selain daripada itu ajaran tersebut turut berpendapat bahawa kebebasan maknawi merupakan sebuah penjamin kepada tertegaknya keadilan sosial atau kebebasan sosial di kalangan anak Adam. Dalam erti kata lain, Islam beranggapan bahawa kebebasan sosial tidak akan pernah terjelma di dunia nyata tanpa kebebasan maknawi.
Menurut Ustaz Mutahhari, kelemahan yang wujud di dalam maktab pemikiran manusia ketika ingin mengkristalisasikan impian kebebasan sosial di dalam jemaah mereka terletak pada kekosongan perbahasan mereka daripada konsep kebebasan maknawi. Syahid kemudian menegaskan bahawa perkara itu tidak akan pernah mendapat tempat di dalam perbahasan serta program mereka kerana kebebasan maknawi itu hanya boleh direalisasikan melalui kenabian, kitab suci dan kepercayaan kepada keesaan Allah.
Islam di dalam ajarannya menganggap bahawa manusia merupakan sebuah wujud murakkab yang terdiri daripada beberapa unsur dan kecenderungan yang berbeza. Manusia di dalam kaca mata Islam memiliki, syahwat, ammarah, rasa tamak dan lain-lain. Di satu sudut lain, ia juga diperkasakan dengan akal, fitrah yang mulia dan nurani yang beretika.
Individu yang bebas di dalam skop maknawi adalah mereka yang mampu membebaskan jiwa mereka daripada penjara syahwat, amarah dan seluruh kudrat pembinasa yang wujud di dalam dirinya. Dalam erti kata lain, jiwa yang memiliki kebebasan maknawi merupakan roh yang berjaya mengawal syahwat dan kudrat itu tadi untuk bekerja di bawah perintah akal, fitrah dan nurani yang beretika itu tadi.
Hubungan Di Antara Kebebasan Sosial Dan Kebebasan Maknawi
Sejarah membuktikan kepada kita bahawa manusia pada masa dahulu tanpa segan silu memijak dan merampas hak individu atau bangsa yang lain secara terbuka. Rentetan itu, kita terkadang tertanya-tanya berkenaan faktor yang menyumbang kepada tindakan ganas secara terang-terangan mereka dengan harapan perkara itu mampu membantu kita dalam membina masyarakat yang aman dan tenteram. Jawapan yang kerap kita dengari daripada media dan pusat pengajian barat ialah masalah kekurangan pengetahuan dan undang-undang pada era tersebut.
Jadi, menurut sebahagian daripada kita, punca kepada isu perhambaan, pemerasan, pengeksplotasian dan lain-lain pada masa silam adalah masalah kekurangan maktab pemikiran dan kekurangan undang-undang yang kompleks untuk mengendalikan masyarakat manusia serta keperluannya.
Akan tetapi, setiap manusia yang jujur sepatutnya meneruskan persoalan mereka dengan menanyakan sama ada manusia moden yang kaya dengan ilmu pengetahun dan undang-undang telah berjaya meninggalkan sejarah jenayah-jenayah tersebut. Dalam erti kata lain, "Apakah manusia sekarang tidak lagi memeras, merampas dan menindas hak individu dan bangsa yang lain?".
Malang sekali, konflik di Palestin, Yaman, Lubnan, Syria, Libya dan lain-lain tempat menunjukkan kepada kita bahawa jawapan dangkal yang disuakan sebelum ini sama sekali tidak memadai sekaligus gagal untuk membawa kita kepada objektif asli. Ini kerana, dengan pengetahuan yang setakat ini telah menghantar manusia ke bulan dan dengan undang-undang yang tertulis di dalam kitab-kitab gergasi, kerakusan manusia di dalam melakukan jenayah manusia lampau tidak pernah padam bahkan terus membara mengikut selera hati mereka.
Bezanya, manusia masa lampau belum lagi memiliki 'kematangan' dalam kenifakan dan sikap bermuka-dua. Dalam erti kata lain, ketika melakukan jenayah, mereka melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi, manusia masa moden telah mencapai puncak kedua-dua perkara itu. Mereka bahkan bersembunyi di sebalik 'ilmu pengetahuan dan undang-undang itu tadi' untuk mencuci tangan daripada jenayah berdarah di pelbagai pelusuk dunia.
Berdasarkan perkara di atas, kita dapat memahami bahawa kecetekan pengetahuan dan kekurangan undang-undang bukanlah faktor penentu yang menyebabkan kemunduran manusia di dalam aspek kebebasan sosial. Sebab utama yang menyumbang kepada perkara itu adalah keterpenjaraan manusia itu sendiri di dalam syahwat, amarah dan seluruh kudrat pembinasa yang dimiliknya.
Menurut Syahid Mutahhari juga, manusia yang buas tidak akan pernah akur kepada akal, fitrah dan hati nuraninya yang hanya boleh diperkasakan melalui proses penyucian jiwa dan ketakwaan. Di satu sudut lain, seperti yang telah dibahaskan sebelum ini, jiwa yang memiliki kebebasan maknawi merupakan roh perkasa yang mampu mengawal syahwat dan kudrat itu tadi untuk bekerja di bawah perintah akal, fitrah dan nurani yang beretika itu tadi.
Oleh kerana itu, kita mampu mengambil kesimpulan mudah dengan mengatakan bahawa kebebasan maknawi adalah batu asas kepada kebebasan sosial di mana tanpanya tiada maktab pemikiran yang mampu mendakwa bahawa mereka telah berjaya membawa produk pemikiran sempurna berkaitan dengan kebebasan sosial apatah lagi mendakwa diri mereka sebagai pahlawan di dalam bidang itu.
Pahlawan hakiki di lapangan kebebasan sosial dan kebebasan secara mutlak adalah maktab ilahi yang tidak pernah leka daripada konsep penyucian jiwa dan ketakwaan. Konsep yang menurut Islam merupakan asas kepada kejayaan dan asas kepada makam ketinggian manusia. Berdasarkan konsep itu, agama suci Islam ingin menyatakan kepada manusia bahawa dia perlu membebaskan dirinya daripada kungkungan sebarang kecenderungan buas sebelum mampu mewujudkan kebebasan sosial di dalam masyarakat.
Inilah ajaran yang benar-benar mencerminkan hakikat asli kebebasan itu dan dalam masa yang sama mampu digelar sebagai juara di dalam isu kebebasan. Ajaran suci yang objektifnya di dalam isu ini terangkum dengan baik dalam ayat berikut;
الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ...
(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma'ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka... :(Surat Al-A’raf; Ayat 157)
Melalui ayat ini, pemilik syariat yang suci ingin mengatakan bahawa seluruh program Islam, dari sistem akidah hinggalah halal-haramnya tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk menganugerahkan kebebasan hakiki serta mutlak kepada bani Adam yang kerap terperuk di dalam penjara zahir serta batin. -ABNA24
11 November 2019 - 16:33
News ID: 987321

Kebebasan adalah sebuah konsep yang mendapat perhatian besar masyarakat dunia pada hari ini dan istilah itu seringkali digunapakai oleh kita untuk merujuk kepada apa yang dipanggil sebagai kebebasan sosial.