PETALING JAYA: Khutbah Jumaat di Selangor hari ini yang membidas aliran Syiah sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam tidak salah, kata Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusuf Rawa.
Ini kerana ia mungkin merujuk kepada kumpulan Syiah yang melampaui batas, jelasnya.
“Syiah ada dua kumpulan: ulum, iaitu golongan yang melampau seperti mencaci sahabat nabi dan sebagainya (percaya imam Syiah maksum atau mencederakan diri di Hari Karbala). Perbuatan mereka amat tidak wajar.
“Tetapi tidak semua Syiah begitu. Kumpulan kedua ialah muqtadir, iaitu golongan yang tidak menghina para sahabat. Mereka masih lagi Islam.
“Mungkin yang dimaksudkan dalam khutbah itu untuk mengingatkan kita tentang kesesatan (dalam kalangan) pengikut Syiah. Tidak ada masalah asalkan kita (Sunnah Wal Jamaah) tidak terpengaruh dengan ajaran yang tidak betul,” katanya kepada FMT.
Khutbah di masjid Selangor hari ini tampil membidas aliran Syiah dengan berkata ia bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.
Teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu turut menolak dakwaan doktrin Syiah masih Islam.
Pendirian itu beberapa hari selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru pengikut aliran Syiah dan Sunnah bersatu.
Ia disusuli dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad semalam yang berkata pengikut Syiah sebahagian daripada Islam.
Mahfodz bagaimanapun berkata, walaupun Syiah sebahagian Islam, ia tidak bermakna PAS membenarkan Syiah disebarkan di Malaysia.
“Orang Syiah di Malaysia tak boleh sebarkan fahaman Syiah tetapi sebagai amalan peribadi tidak ada masalah. Ini kerana kerajaan dan ulama di Malaysia sepakat untuk amalkan aliran Sunnah Wal Jamaah bermazhabkan Shafi’i,” katanya.
Oleh: Faiz Zainudin