22 Mei 2017 - 19:28
Sarawak Tubuh Unit Hal Ehwal Bukan Islam

Sarawak dengan rasmi menubuhkan Unit Hal-Ehwal Bukan Islam, agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sarawak dengan rasmi menubuhkan Unit Hal-Ehwal Bukan Islam, agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama.

Kerajaan negeri meluluskan 17 jawatan baharu termasuk seorang pengarah sepenuh masa, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Douglas Uggah Embas dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

“Status unit lengkap ini bersamaan unit lain di jabatan ketua menteri,” kata Douglas.

Idea unit itu cetusan idea bekas ketua menteri Sarawak Adenan Satem dan juga bagi menjawab isu yang dibangkitkan Adun Bukit Assek Irene Chang dari DAP, katanya.

Ia ditubuhkan untuk menilai, mencadangkan dan merumuskan dasar, undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan hal ehwal agama bukan Islam di Sarawak.

Ia akan menjadi pusat rujukan pelbagai badan agama untuk berhubung dan berinteraksi dengan agensi kerajaan negeri atau persekutuan dalam banyak perkara, termasuk permohonan tanah dan pembiayaan membina bangunan.

Unit sudah menerima 8 kelulusan untuk permohonan tanah bagi membina pelbagai institusi bukan agama Islam.

Douglas berkata kerajaan negeri sedang memproses 30 permohonan untuk biaya binaan baharu dan penyelenggaraan bangunan sedia ada.

Jemaah menteri Sarawak bermesyuarat 27 April lepas untuk secara rasmi meluluskan struktur unit baharu itu. Agensi itu dalam proses pengambilan kakitangan untuk mengisi kekosongan yang diluluskan.

Sarawak mempunyai penduduk majoriti Krisitan dan hanya 25% daripada mereka beragama Islam, menurut statistik rasmi.