Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Selasa

1 September 2020

3:33:52 PTG
1067102

Perjanjian Dengan Israel, UAE Khianati Dunia Islam - Ayatullah Khamenei

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, hari ini mendakwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengkhianati umat Islam di seluruh dunia menerusi perjanjian menjalin hubungan dengan musuh utama Tehran, Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, hari ini mendakwa Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengkhianati umat Islam di seluruh dunia menerusi perjanjian menjalin hubungan dengan musuh utama Tehran, Israel.

"#UAE mengkhianati dunia Islam, negara Arab, negara di wilayah dan #Palestin.

"Sudah tentu, pengkhianatan ini tidak akan bertahan lama namun stigma itu kekal dengan mereka," katanya dalam ciapan di akaun Twitter rasminya.

Perjanjian itu, yang ketiga dijalin dengan negara Arab, Israel berjanji untuk menangguhkan perluasan pencerobohan di bumi Palestin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan ia tidak bermakna Israel mengetepikan rancangan untuk meluaskan jajahannya di Lembah Jordan dan penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Khamenei berharap rakyat Arab bangun tidak lama lagi dan Israel membayar ganti rugi untuk apa yang sudah mereka lakukan.

"Pemerintah UAE membuka pintu wilayah ini kepada Zionis dan mereka tidak mempedulikan serta menjawab persoalan mengenai Palestin," katanya.

Ia adalah reaksi pertama Khamenei terhadap perjanjian antara antara UAE dan Israel itu, yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 13 Ogos.

Ucapan itu dibuat selepas delegasi AS-Israel tiba di Abu Dhabi semalam melalui penerbangan terus pesawat komersial pertama dari Tel Aviv bagi menandakan hubungan itu, dengan Arab Saudi membenarkan pesawat itu melintasi ruang udaranya.

Kementerian luar Iran sebelum ini mengutuk perjanjian itu sebagai tindakan 'kebodohan strategik'. - AFP