23 November 2015 - 03:08
Hadapi keganasan dengan cara Islam yang sebenar

Rakyat perlu diizinkan melakukan kegiatan bercorak Islam yang sebenar bagi menerapkan pemikiran sederhana dan logik akal, selain memerangi ekstremisme.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Ayatullah Khamenei dalam pertemuan bersama Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedow telah menyentuh tentang hubungan bilateral dan persahabatan Iran dan negara tersebut. Menurut Khamenei, terdapat banyak peluang untuk meluaskan kerjasama dua pihak seperti menyelesaikan masalah keganasan. Tegas beliau, "Jalan menghadapi gerakan pengganas dan membasmi pengaruhnya ialah mengizinkan masyarakat melakukan aktiviti bercorak agama dan mengukuhkan gerakan pemikiran Islam sederhana dan selaras dengan logik akal."

Ayatullah Sayid Ali Khamenei menambah, bangsa Iran dan Turkmenistan bagaikan dua saudara, yang perlu berkerjasama dalam memanfaatkan berbagai peluang demi meluaskan kerjasama." Tambah beliau lagi,"Perlaksanaan plan yang dipersetujui hendaklah diterapkan secara serius dengan langkah-langkah yang berkesan dan praktikal."

Mengulas mengenai keamanan Iran dan Turkmenistan, Khamenei menegaskan betapa perlunya kerjasama yang konsisten demi menghadapi keganasan militan IS dan kumpulan-kumpulan pengganas takfiri yang lain. Dengan ini rakyat hendaklah diizinkan melaksanakan aktiviti-aktiviti bercorak agama Islam yang sebenar. Langkah-langkah ini merupakan cara terbaik untuk mematikan pengaruh keganasan dan mengukuhkan pemikiran Islam yang sederhana.

Mengenai keganasan pengganas di seluruh dunia seperti penyembelihan dan pembakaran manusia, beliau berkata, "Islam agama persaudaraan, kasih sayang dan menuntut kebaikan untuk orang lain. Janayah ini tidak ada kaitan dengan Islam sedikitpun."

Presiden Gurbanguly Berdimuhamedow turut mengungkapkan rasa bertuah melawat Iran dan bertemu dengan Pemimpin Tertinggi Revolusi ini. Beliau berkata, "Iran dan Turkmenistan sentiasa mempunyai hubungan baik termasuk dari segi sejarah. Sakit dan senang sama dirasai, ucapan anda bahawa Iran dan Turkmenistan tidak hanya berjiran, malah bersaudara amat menggembirakan kerajaan dan bangsa Turkmenistan."

"Ucapan anda sebagai pemimpin yang bijak dan berperi kemanusiaan bagi kami adalah pemikir yang bernilai. Semoga nasihat anda memberikan kesimpulan yang baik," jelas Gurbanguly Berdimuhamedow.