
KELIHATAN penduduk Syria berjalan menyusuri bangunan yang musnah akibat serangan udara tentera Russia. - AFP
DAMSYIK: Tiada bunyi tembakan kedengaran di seluruh Syria hari ini selepas gencatan senjata yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkuat kuasa, perdamaian utama pertama dalam tempoh lima tahun perang saudara yang meragut lebih 270,000 nyawa.
Pada detik tengah malam, tembak-menembak dihentikan di sekitar pinggir bandar ibu negara dan bandar utara Aleppo yang teruk dibedil, sehari selepas serangan udara bertalu-talu Russia terhadap kubu pemberontak di seluruh Syria.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menyatakan, keadaan di utara wilayah Latakia dan wilayah tengah Homs dan Hama juga sepi.
Gencatan senjata di seluruh negara itu adalah yang pertama dicapai sejak perang saudara Syria meletus pada 2011.
Utusan PBB, Staffan de Mistura, berkata rundingan damai akan disambung pada 7 Mac ini jika perjanjian gencatan senjata berterusan dan lebih banyak bantuan disampaikan - perkara utama dalam rundingan damai. - AFP