Aktivis menyatakan perarakan bermula dari pusat kota hingga ke tanah perkuburan Tarout sehinggalah jenazah disemadikan.
Penduduk yang kebanyakannya berpakaian hitam melaung-laungkan slogan "al-Maut li Al Saud" (kematian untuk Al Saud) dan "Al-Sha'b Yurid Isqath Al Saud" (penduduk mahu kejatuhan regim Al Saud). Beberapa orang ulama turut hadir bersama ratusan wanita dan kanak-kanak. Jenazah diarak secara aman tanpa kehadiran pasukan keselamatan.
Setelah solat jenazah, Syeikh Abdul Karim memberikan ucapan perkabungan sambil menggesa penduduk untuk mematuhi undang-undang serta mengekalkan keamanan.
Al Mathar meninggal dunia akibat terkena tembakan yang dilepaskan ejen polis pada hari Khamis lalu. Sebaliknya kenyataan awal pihak berkuasa Saudi menuduh rondaan keselamatan telah diprovokasi sehingga memaksa tembakan dilepaskan. Namun aktivis membidas kenyataan ini dengan menyatakan Al Mathar gugur syahid setelah tembakan dilepaskan ke arah penunjuk perasaan.
Dengan kematian Al Mathar, korban revolusi Arab Saudi dikatakan meningkat seramai 16 orang sejak kebangkitan penduduk memprotes pemerintahan regim pada tahun 2011.















