19 Ogos 2013 - 19:30
Isu Sunni-Syiah lemahkan umat Islam

Presiden Parti Islam Semalaysia menasihatkan umat agar tidak terpengaruh dengan kontroversi lama Sunni - Syiah yang sengaja dicanang di zaman kebangkitan Islam ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Presiden Parti Islam Semalaysia hari ini mengingatkan umat Islam agar tidak terperangkap dalam agenda yang melemahkan umat Islam dengan memperalatkan isu Sunni - Syiah. Menurut beliau isu perbalahan mazhab tersebut hanya menjauhkan umat dari kebangkitan Islam di seluruh dunia hari ini di samping melupakan musuh sebenar, iaitu Israel dan kuasa-kuasa besar dunia.

“Sekarang kita (umat Islam) menghadapi zaman kebangkitan Islam. Kumpulan Islam menang di rata-rata dunia, bangkit sama ada secara sedar tapi bodoh atau pun jahil isu-isu lama ini ditimbulkan semula.

“Sehingga orang Islam lupa masalah kebangkitan Islam yang patut mereka tangani dan mereka lupa sepatutnya mereka (umat Islam) hadapi Israel dan kuasa-kuasa besar dunia. Asyik sibuk dengan masalah-masalah mazhab yang ditimbulkan,” tutur beliau.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, kuasa besar dunia amat bimbang dengan kebangkitan negara Islam Sunni seperti Mesir dan Turki yang dikatakan mampu menguasai serta menerajui kepimpinan dunia Islam.

Selain itu beliau menasihatkan agar isu ini diselesaikan oleh pihak yang berautoriti sahaja seperti ahli agama dan ahli akademik, bukannya golongan yang 'bodoh' serta jahil.

“Dalam hal ini kita kena sedar dalam masalah mazhab ini sepatutnya dibincang oleh ahli-ahli ilmu, jangan yang bodoh. Dalam Sunni ada bodoh, dalam Syiah pun ada yang bodoh dan ini ‘penyakit’ yang kita sedang hadapi hari ini,” tambahnya lagi.

Selain itu beliau menjelaskan mazhab Syiah dalam masyarakat Melayu bukan perkara baru, malah sudah wujud sejak kedatangan Islam ratusan tahun yang silam.