Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Marja' taqlid Ayatullah Husain Nuri Hamdani menekankan betapa pentingnya perpaduan di kalangan umat Islam dalam menghadapi musuh. Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama rombongan pelajar sekolah tinggi Ahli Sunnah. Sambil menyentuh tentang situasi di Syria, Mesir dan beberapa negara Islam yang lain, beliau menyatakan, "Hari ini umat Islam berada di tengah-tengah medan dalam menghadapi Amerika, Zionis dan Takfiri".
Tambah beliau lagi, "Islam menyatakan bahawa Ahli Sunnah dan Syiah itu bersaudara, mereka tidak sepatutnya mencetuskan provokasi dan membicarakannya secara terbuka. Ini disebabkan musuh akan mengambil peluang secara jahat. Puak Salafi dan Takfiri tidak mempunyai tempat di dalam perpaduan ini. Mereka berseteru dengan Syiah dan Sunni."
Menurut beliau lagi, perpaduan akan menjadi semakin kukuh sekiranya perhubungan dapat diwujudkan dengan lebih banyak.
"Berapa banyak perhubungan yang dapat dijalinkan, semuanya akan memberi manfaat untuk Islam. Ini disebabkan kita mempunyai musuh bersama dan mereka (musuh) masing-masing menentang prinsip asas Islam".
Ayatullah Nuri Hamdani menegaskan lagi, solidariti umat Islam dalam menghadapi kuasa besar dunia sebagai satu kewajipan dan berkata, "Kita semua bersaudara dan perlu bergerak bersama-sama, sekiranya kita hanya memerhatikan perkara ini tanpa bertindak, maka musuh akan menelan kita".
Sambil menerangkan tentang sebuah riwayat daripada Ahlul Bait (a.s) tentang perpaduan Syiah dan Ahli Sunnah, beliau menekankan, "Mereka (Ahlul Bait) berpesan kepada Syiah supaya sentiasa berinteraksi dengan Ahli Sunnah, pergi ke masjid dan solat di belakang mereka. Sehingga ke peringkat mereka berkata, pahala solat seperti ini bagaikan solat di belakang Rasulullah (s.a.w)".
Selain itu, beliau menerangkan bahawa debat-debat di kalangan kelompok-kelompok Islam hendaklah tidak mengguris semangat perpaduan. Tambah beliau, "Ianya hendaklah dalam format forum, siapapun yang menerangkan akidah dirinya hendaklah berasaskan argumen. Forum seperti ini lebih banyak menyatukan umat Islam dalam menghadapi musuh".