2 Julai 2014 - 21:16
Muawiyah penderhaka yang sesat

Penyelidik Hasan Farhan Al-Maliki menceritakan pengalamannya bersama dengan mufti Arab Saudi Bin Baz.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Penyelidik Arab Saudi, Hasan Farhan al-Maliki menyifatkan Setiausaha Agung Hizbullah Hasan Nasrullah sebagai pahlawan Arab, Islam dan nasional kerana bangkit berjuang walaupun bebagai tuduhan dilemparkan kepadanya.

Al-Maliki berkata demikian dalam rancangan televisyen "Fi al-Samim" yang dipengerusikan oleh Abdullah al-Mudaifair. Sambil membuat perbandingan antara Hizbullah, ISIL dan Jabha Nusra, beliau menyatakan Hizbullah hanya memerangi anggota militan sepertinya dan menambah, "Saya tidak fikir Hizbullah mempunyai akhlak buruk seperti yang dilakukan ISIL, Nusra dan FSA."

Selain itu al-Maliki menggambarkan golongan yang menuduh dirinya Syiah sebagai "Nasibi talam dua muka". Beliau juga memperkenalkan dirinya sebagai penyelidik yang tawaddu', sedia membuka pintu rumahnya untuk sesiapapun, berharap dapat belajar dan menegaskan bahawa dirinya bukanlah Syiah yang berselindung.

Sambil memuji ulama Syiah, al-Maliki berkata, "Kamu akan dapati mereka merupakan orang yang rendah diri, sanggup mendengar, luas dimensi, mendapat tempat di hati manusia, tidak taksub dengan mazhab sebagaiana ulama Zaidiyah, Sufi dan Ibadhi."

Al-Maliki berkata, penyelidik di kalangan Atheist yang meninggal dunia sebelum mendapat jawapan terhadap penelitiannya dan tidak menyakiti hati sesiapapun boleh masuk syurga, begitu juga mereka yang tidak tahu mengenai Islam dan Muhammad (s.a.w), termasuklah mereka yang tidak pernah melihat umat Islam melainkan segala kejahatan, pengeboman dan perselisihan, serta tidak pernah masuk Islam. Ini disebabkan Allah tidak memperhitungkannya melainkan moral secara umum, seperti kezaliman dan pembohongan, demikianlah Allah tidak memesongkan ganjaran bagi orang yang melakukan kebaikan. Tambah beliau lagi, "Ini disebabkan Allah adalah Tuhan seluruh alam, bukan hanya Tuhan umat Islam semata-mata."

Selain itu al-Maliki menyifatkan para pelajar bekas mufti Arab Saudi, Abdul Aziz bin Baz sebagai dungu. Beliau berkata sebahagian pelajar mufti tersebut hanya tersibuk dengan perkara yang cetek seperti hukum meniup pada minuman dan lain-lain lagi. Tambah beliau lagi "Sheikh Bin Baz telah membuatkan saya yakin dalam masalah Imam Ali dan Yazid, ketika saya bertanya kepadanya tentang "Fi'atul Baghiyyah" (penderhaka yang sesat), beliau menjawab itu adalah golongan Muawiyah. Saya telah bertanya tentang Yazid, katanya dia fasiq, begitu juga tentang Hajjaj, jawabnya dia seorang yang fasiq."

Berkenaan dengan Mufti Abdul Aziz meminta al-Maliki bertaubat, beliau berkata, "Itu pada tahun 1423 Hijrah (2002), ketika saya pergi ke pejabat mufti tersebut, saya membawa buku-buku dan rakaman ucapan saya, kerana ada fitnah putar belit."

"Dengan segala kerendahan hati, saya memohon kepada beliau, ini adalah karya-karya saya, rujuklah padanya, beri tahu saya tentang kesilapannya, dia menjawab tidak, bertaubatlah kepada Allah, iaitu taubat segala-galanya, kamu telah menulis kebatilan, namun saya tahu dia tidak mempunyai jawapan, saya meminta dia menyerahkan saya ke mahkamah Syariah lantaran saya telah melakukan kesilapan yang amat bahaya. Mufti tidak bersetuju dengan permintaan terakhir saya, dan saya gagal menemui mufti tersebut setelah memohon untuk bermubahalah ketika mereka masih ingkar," lanjut beliau.