13 Oktober 2016 - 07:06
Wikileaks Terbitkan 1000+ Emel Daripada Kempen Hillary Clinton.

Laman sesawang Wikileaks telah menerbitkan kumpulan keempat daripada emel-emel kempen pilihanraya calon parti Demokrat, Hillary Clinton.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Laman sesawang Wikileaks telah menerbitkan kumpulan keempat daripada emel-emel kempen pilihanraya calon parti Demokrat, Hillary Clinton.

Pada Rabu lepas, laman sesawang anti-rahsia itu telah menerbitkan emel-emel tersebut selari dengan janji yang telah dibuat oleh pengasasnya, Julian Assange. Beliau sebelum ini telah berjanji untuk terus menerbitkan emel-emel tersebut sehingga hari pengundian iaitu 8 November.

Semasa sesi debat calon presiden, Hillary di beberapa tempat telah menuduh Rusia dengan mengatakan mereka cuba memberikan kelebihan kepada Trump dengan melancarkan serangan terhadap kempennya. Badan-badan perisikan A.S juga telah menuduh Rusia dengan percubaan menggodam di dalam rangka menjejaskan proses pilihanraya tersebut.

"Pendedahan-pendedahan yang dibuat di laman sesawang seperti DCLeaks.com, Wikileaks dan Gucifer 2.0 selari dengan kaedah dan motivasi pihak Rusia," kata Jabatan Keselamatan Tanah Air Amerika Syarikat dan Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan di dalam sebuah kenyataan bersama.

Tuduhan-tuduhan itu telah mendorong Presiden Persekutuan Rusia untuk membuat kenyataan balas pada Rabu lalu dengan mengatakan bahawa perkara ini 'tidak ada kena mengena dengan kepentingan Rusia'.

"Semua orang berkata tentang siapa yang melakukannya (penggodaman)," kata Putin. "Tetapi, apakah ia penting? Perkara yang paling penting ialah maklumat yang dikandunginya," tambah beliau.

Kumpulan emel-emel terbaru itu terdiri daripada 1100 emel John Podesta yang merupakan pengerusi kempen Hillary. Kumpulan kempen Hillary setakat ini belum membuat sebarang pengesahan terhadap emel-emel tersebut tetapi telahpun menuduh kumpulan-kumpulan anti-rahsia itu sebagai 'dikawal' oleh Moscow.

Kumpulan-kumpulan tersebut bagaimanapun menafikan dakwaan-dakwaan itu. "Kewartawanan akan berakhir jikalau media membiarkan kempen Clinton secara berterusan mengelak pertanyaan dengan mengatakan 'kami telah digodam' bagi setiap isu," kata pertubuhan itu di akaun Twitter-nya pada Selasa lepas.