4 Januari 2017 - 07:38

Pengeluar otomobil kedua terbesar Amerika Syarikat telah membatalkan rancangan untuk membina kilang baharu bernilai USD 1.6 bilion di Mexico. Menyusuli pembatalan itu, mereka berhasrat untuk melabur sebanyak USD 700 juta di sebuah kilang yang terletak di Michigan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pengeluar otomobil kedua terbesar Amerika Syarikat telah membatalkan rancangan untuk membina kilang baharu bernilai USD 1.6 bilion di Mexico. Menyusuli pembatalan itu, mereka berhasrat untuk melabur sebanyak USD 700 juta di sebuah kilang yang terletak di Michigan.

Keputusan itu dibuat selepas Ford Motor Co menghadapi kritikan keras daripada bakal Presiden A.S, Donald Trump berikutan rancangan pelaburan syarikat itu di Mexico.

"Selain daripada USD 4.5 bilion yang telah kami peruntukkan untuk kenderaan elektrik pada hari ini, pada hari yang sama, kami juga mengumumkan peruntukkan USD 700 juta untuk mengubah dan meluaskan kilang Flat Rock ini dengan mewujudkan sebuah pusat inovasi pembuatan yang baharu," kata Ketua Eksekutif Ford, Mark Fields.

Beliau menambah dengan berkata bahawa keputusan untuk membatalkan pembinaan kilang baharu di Mexico dibuat berdasarkan keperluan untuk memaksimakan kapasiti di fasiliti-fasiliti sedia ada berikutan penurunan angka jualan kereta bersaiz kecil dan sederhana.

Fields turut bersetuju dengan cukai 'pro-pembangunan' dan peraturan yang dicanangkan oleh Trump.

Trump berulang kali di dalam kempen pilihan raya presiden mengumumkan bahawa beliau tidak akan mengizinkan Ford membuka kilang baharu di Mexico jikalau terpilih sebagai Presiden A.S.