30 Januari 2017 - 16:43
Serangan Ke Atas Sebuah Masjid Di Quebec

Enam orang dilaporkan terbunuh akibat sebuah serangan bersenjata yang berlaku di sebuah masjid di Quebec, Kanada. Pihak polis telah menahan dua orang suspek berhubung serangan tersebut setakat ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Enam orang dilaporkan terbunuh akibat sebuah serangan bersenjata yang berlaku di sebuah masjid di Quebec, Kanada. Pihak polis telah menahan dua orang suspek berhubung serangan tersebut setakat ini.

Para penyerang telah melepaskan tembakan ke arah mereka yang berada di dalam masjid yang dikenali sebagai Pusat Kebudayaan Islam Quebec ketika para jemaah sedang sibuk menunaikan solat pada hari Ahad.

Polis Quebec setakat ini berkata bahawa 8 orang turut tercedera berikutan serangan tersebut dan mereka juga percaya bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa wujud penyerang yang lain selain daridapa 2 orang suspek yang telah ditahan. Sebelum ini, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa terdapat penyerang ke-3 yang telah meninggalkan tempat kejadian.

Polis turut berkata bahawa mereka telah memulakan siasatan berhubung insiden di Quebec itu.

"Serangan Pengganas Ke Atas Orang Islam"

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau di dalam sebuah kenyataan mengatakan insiden tersebut adalah "sebuah serangan pengganas ke atas orang Islam."

"Kami mengutuk serangan pengganas ke atas orang Islam di sebuah pusat ibadat dan perlindungan," kata beliau di dalam sebuah kenyataan.

Sebelum mengeluarkan kenyataan itu, Trudeau menulis di laman Twitter-nya dengan mamanggil insiden itu sebagai sebuah serangan "bacul". Beliau turut berkata bahawa "ingatannya kini bersama para mangsa dan keluarga mereka."