17 Februari 2017 - 08:53
Tentera Myanmar Henti Operasi Di Rakhine

Tentera Myanmar dilaporkan telah menamatkan operasi ‘pembersihan’ di Rakhine, sekali gus mengakhiri kekejaman oleh anggota kese­lamatan sejak empat bulan lalu yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Myanmar dilaporkan telah menamatkan operasi ‘pembersihan’ di Rakhine, sekali gus mengakhiri kekejaman oleh anggota kese­lamatan sejak empat bulan lalu yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai jenayah kemanusiaan dan pembersihan etnik.

Semalam, Penasihat Keselamatan Negara, Thaung Tun dalam satu kenyataan berkata, pasukan tentera telah menghentikan operasi mereka dan meletakkan kawasan itu di bawah kawalan polis.

“Keadaan di utara Rakhine kini telah stabil. Operasi pembersihan yang dijalankan oleh tentera telah dihentikan begitu juga dengan perintah berkurung. Apa yang kekal hanya kehadiran polis untuk memastikan keamanan,” katanya.

Menurut Thaung Tun, kerajaan juga telah mengarahkan suruhanjaya yang diketuai Naib Presiden, Myint Swe untuk menyiasat dakwaan kekejaman terhadap etnik minoriti Rohingya dalam laporan dikemukakan PBB.

“Kita telah menunjukkan kesediaan untuk bertindak apabila terdapat bukti jelas tentang peng­aniayaan itu,”katanya.

Menurut perangkaan PBB, ham­pir 1,000 etnik Rohingya dibunuh dengan kejam manakala lebih 70,000 yang lain terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.

Keganasan itu memperbaharui kritikan antarabangsa ke atas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana tidak menyalurkan bantuan sewajarnya kepada etnik minoriti Islam terbabit.

Kerajaan Myanmar yang dike­tuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu bagaimanapun menafikan semua tuduhan salah laku hak asasi manusia di Ra­khine.

Suu Kyi turut menafikan pembunuhan besar-besaran dan rogol beramai-ramai ke atas etnik minoriti Islam Rohingya, malah menyifatkan operasi menentang pemberontakan terbabit sah dari segi undang-undang.

Sementara itu, Myanmar dilaporkan membuka semula pintu sempadan utama dengan Bangladesh yang telah ditutup sementara berikutan insiden serangan di pos keselamatan berhampiran kawasan berkenaan pada 9 Oktober tahun lalu.

Menurut Pejabat Kaunselor Negeri, pintu sempadan yang menghubungkan Maungtaw di negeri Rakhine itu dibuka semula pada hujung minggu bagi memulihkan keamanan dan ke­stabilan di rantau ini selepas rundingan diadakan dengan Bangladesh. – AFP/BERNAMA