20 Februari 2017 - 17:57
Fasa Baharu Rampas Semula Barat Mosul

Tentera Iraq melancarkan fasa baharu untuk membebaskan kawasan barat Mosul daripada cengkaman kumpulan militan Daesh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Iraq melancarkan fasa baharu untuk membebaskan kawasan barat Mosul daripada cengkaman kumpulan militan Daesh.

"Saya mengumumkan operasi baharu ketenteraan telah dilancarkan untuk merampas semula bandar itu," kata Perdana Menteri, Haider al-Abadi yang disiarkan menerusi stesen TV, semalam.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas pesawat tentera menggugurkan risalah di sekitar kawasan barat Mosul untuk memberi amaran kepada penduduk sekitar tentang operasi besar-besaran tersebut.


Di bawah fasa baharu itu, pasukan keselamatan dijangka mara ke Lapangan Terbang Mosul di pinggir selatan bandar terbabit.

Tentera Iraq juga merancang merampas semula kawalan ke atas tiga perkampungan dan stesen jana kuasa di barat daya Mosul.

Operasi ketenteraan fasa pertama untuk menguasai semula kubu utama Daesh itu, dilancarkan pada 17 Oktober lalu dan seluruh kawasan timur Mosul berjaya dibebaskan daripada cengkaman kumpulan militan tersebut pada bulan lalu. - Agensi