Agensi Berita Ahlul (ABNA24) - Ratusan penunjuk perasaan pro Palestin mengadakan demonstrasi di sini, bagi membantah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyhu yang dianggap sebagai 'penjenayah perang' ke Australia.
Helikopter polis memantau keadaan di sekitar bandar raya ini ketika penceramah menyelar sokongan padu Canberra terhadap Netanyahu dan kerajaannya.
"Kami berada di sini untuk membantah sokongan Australia terhadap Israel, negara aparteid yang mengamalkan perkauman.
"Amat menjijikkan melihat beberapa pemimpin Australia menyediakan permaidani merah dan mengalu-alukan penjenayah perang ke Australia.
"Bagaimanapun, ada ramai pemimpin Australia yang membantah kedatangan Netanyahu dan kami melaungkan dengan jelas hari ini, bahawa (Perdana Menteri) Malcolm Turnbull dan (Menteri Luar) Julie Bishop 'tiada dalam senarai kami," kata penulis pro Palestin dan peguam warga Australia, Randa Abdel-Fattah kepada AFP.
Sementara itu, penunjuk perasaan turut membawa papan tanda tertera gambar Netanyahu dengan misai menyerupai Adolf Hitler dengan perkataan 'fasis' ditulis di bawah gambar itu.
Demonstrasi anjuran Kumpulan Bertindak Palestin tempatan itu cuba berarak menuju ke hotel penginapan Netanyahu tetapi dihalang oleh pihak polis.
Menjelang ketibaan Netanyahu pada Rabu ini, kira-kira 60 pemimpin perniagaan, ahli akademik, pemimpin agama dan bekas ahli politik menandatangani surat menyatakan Australia tidak seharusnya menerima kunjungan pemimpin Israel itu. - AFP