Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pergerakan Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza membayangkan konflik ketenteraan baharu akan meletus antara pergerakan itu dan rejim Zionis susulan pembunuhan komander sayap bersenjata pergerakan itu, Mazen Fuqaha, di sini kelmarin.
Mazen, 38, yang merupakan Komander Briged Izzuddin al-Qassam ditemukan dengan empat das tembakan di kepala dalam insiden yang berlaku di pintu masuk rumahnya di bandar ini, dipercayai menggunakan senjata yang mempunyai alat penyerap bunyi.
Anggota tertinggi Hamas dan Hezbollah mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Mazen dan menyalahkan Israel mendalangi serangan itu walaupun masih tiada bukti bagi menyokong dakwaan tersebut termasuk kenyataan daripada Tel Aviv.
Pengasas bersama Hamas, Mahmoud al-Zahar yang dipetik portal Press TV sebagai berkata, pergerakan itu kini berazam untuk melenyapkan pengintip dan tentera upahan yang digerakkan Israel di Genting Gaza.
“Oleh itu, satu operasi besar-besaran akan dilancarkan bagi mengenal pasti kesemua pihak yang bertanggungjawab dalam serangan itu dan kita akan membalas dendam,” katanya semasa menyertai ribuan penyokong pergerakan itu menghadiri pengebumian Mazen di sini.
Jelas beliau, Hamas mempunyai pelbagai kemampuan untuk bertindak balas terhadap Israel berikutan kematian Mazen dan menegaskan pergerakan tersebut sama sekali tidak akan mengambil keputusan secara mengejut.
“Tiada perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang bermakna kedua-dua pihak secara teknikalnya sedang berperang dan api peperangan boleh menjadi marak pada bila-bila masa,” tegasnya.
Israel beberapa kali menyerang Gaza termasuk serangan pada Julai 2014 dengan tindakan ketenteraan rejim Zionis itu hanya terhenti pada 26 Ogos tahun yang sama dan menyaksikan kira-kira 2,200 penduduk Palestin terbunuh manakala lebih 11,000 yang lain cedera.
Dalam perkembangan berkaitan, Briged Izzuddin al-Qassam dalam kenyataannya mengecam pembunuhan Mazen dan mendakwa pihak berkuasa Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian pemimpin mereka.
“Rejim Zionis akan menyesal dengan perbuatannya dan mereka patut tahu jika bermain dengan api, mereka akan hangus,” kata kenyataan pergerakan itu.
Sementara itu, Hamas hari ini menutup pintu sempadan antara Genting Gaza dan Israel, isyarat ketegangan antara kedua-dua pihak semakin memuncak.
Kementerian Dalam Negeri Hamas berkata, pintu masuk berhampiran Lintasan Erez yang menjadi satu-satunya jalan masuk darat antara Israel dan Gaza ditutup sebagai tindak balas kematian Mazen. – AP/AGENSI/DPA
26 Mac 2017 - 18:04
News ID: 820116
Pergerakan Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza membayangkan konflik ketenteraan baharu akan meletus antara pergerakan itu dan rejim Zionis susulan pembunuhan komander sayap bersenjata pergerakan itu, Mazen Fuqaha, di sini kelmarin.